Isnin, 20 Oktober 2014 | 4:19pm

Kerajaan Pulau Pinang guna pendekatan baharu atasi banjir

GEORGETOWN : Semua pemaju projek pembangunan baharu di negeri ini disyaratkan untuk menaik taraf sistem saliran dan perparitan di sekitar kawasan projek mereka dalam usaha mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.

Itu antara pendekatan baharu kerajaan negeri bagi mengatasi dan menguruskan masalah banjir supaya ia dapat dikurangkan sehingga tahap minimum, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow.

"Pihak berkuasa tempatan akan mengawal pembangunan projek baharu dengan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaik taraf parit utama di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk yang dijalankan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sambil mengakui masalah banjir memang tidak dapat diatasi sepenuhnya oleh kerajaan negeri pimpinan DAP itu, beliau berkata Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sentiasa berusaha menjalankan projek mitigasi banjir bagi mengurangkan kesan banjir kilat dalam kawasan bandar.

Katanya, kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM27 juta sejak 2008 hingga kini untuk melaksanakan beberapa projek tebatan banjir di Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata bagi projek pembangunan baharu di luar kawasan bandar Georgetown, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaik taraf sistem saliran yang terbabit dengan pembangunan berkenaan.

Beliau berkata pemaju juga harus menaik taraf sistem saliran mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA) dan Pelan Induk Saliran Daerah.

"Selain itu, kami juga sudah mengenal pasti punca berlakunya banjir kilat di negeri ini, antaranya curahan hujan yang tinggi iaitu melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh singkat, kapasiti parit yang tidak mencukupi, kawasan rendah dan kesan air pasang," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X