Ahad, 21 Februari 2016 | 2:05pm
PDRM akan menggunakan modul pemakanan dan penjagaan kesihatan khas dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah obesiti anggotanya. - Foto hiasan/Abdullah Yusof

Modul khas tangani obesiti anggota PDRM

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan modul pemakanan dan penjagaan kesihatan khas dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah obesiti anggotanya.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata modul berkenaan dalam proses untuk disiapkan dan pihaknya menyasarkan untuk menggunakannya bagi program Trim N Fit bermula Januari tahun depan.

"Rangka modul ini disediakan Kementerian Kesihatan yang mengenal pasti program pemakanan dan senaman sesuai untuk Indeks Jisim Badan (BMI) ideal bagi seorang anggota polis.

"Kita yakin dalam masa enam bulan ini, kita akan mendapat cadangan modul untuk digunakan semua anggota yang bakal menyertai program Trim N Fit ini," katanya ketika ditemui pada aktiviti berkayak program perintis Trim N Fit 2016 di sini, sebentar tadi.

Program perintis berkenaan disertai 35 kakitangan Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan dilaksanakan selama enam bulan bermula bulan lalu.

Program penurunan berat badan sistematik, selamat dan berkesan itu dilaksanakan khusus untuk warga PDRM yang mempunyai berat badan dan ukur lilit pinggang berlebihan.

Difahamkan kira-kira 10 peratus daripada 130,000 anggota dan pegawai awam PDRM mengalami masalah obesiti.

Zulkifli berkata, program perintis itu menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila semua peserta mengalami penurunan berat badan, pengurangan peratus lemak dan ukur lilit pinggang selepas sebulan menyertainya.

Berita Harian X