Ahad, 21 Februari 2016 | 10:14pm

LIFTF kurangkan jurang perlindungan


Datuk Ab Latiff Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Pengenalan Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga (LIFTF) dijangka dapat mengurangkan jurang perlindungan di Malaysia, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS), Datuk Ab Latiff Abu Bakar.

Katanya, ia selaras dengan usaha kerajaan mencapai kadar penembusan insurans hayat dan takaful 75 peratus menjelang 2020 berbanding 54 peratus pada 2013.

Beliau berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada inisiatif khusus yang ditawarkan rangka kerja terbabit yang ‎menggalakkan inovasi produk dan pasaran lebih kompetitif.

"Ia juga bakal dibantu profesionalisme dan ketelusan bertahap lebih tinggi dalam menyediakan produk serta perkhidmatan insurans dan takaful.

"Paling utama, rangka kerja ini akan memastikan pengguna terus menerima nasihat serta perkhidmatan sesuai daripada pengendali insurans dan takaful di negara ini," katanya pada sesi temu bual bersama media di sini, baru-baru ini.

LIFTF yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada November 2013, bertujuan menyokong pembangunan jangka panjang bagi industri terbabit menerusi perubahan kepada persekitaran operasi baharu.

Rangka kerja itu bakal dilaksanakan secara percubaan mulai Julai sebelum dijadikan dasar serta dikuatkuasakan sepenuhnya pada Julai 2018.

Ab Latiff berkata, ada tiga bidang utama LIFTF, iaitu operasi lebih fleksibel bagi merangsang inovasi produk, kepelbagaian saluran perniagaan bagi meluaskan capaian dan memperbaiki amalan atau pengendalian pasaran dengan tujuan mempertingkatkan perlindungan pengguna.

"LIFTF akan menamatkan had kos operasi yang sebelum ini terhad disebabkan garis panduan Kawalan Kos Operasi (OCC) BNM. Ia sekali gus membolehkan pengguna menikmati lebih banyak produk perlindungan dan khidmat kewangan, selain lebih fleksibiliti diberikan kepada pengendali insurans dan takaful untuk menginovasi produk mereka," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga memiliki lebih banyak peluang untuk memilih saluran agensi bagi mendapatkan produk insurans hayat atau takaful keluarga apabila LIFTF yang bakal dilaksanakan, akan mempelbagaikan saluran pengagihan.

"Antara inti pati kepelbagaian saluran pengagihan ini adalah saluran langsung yang diakses secara meluas (perolehan sijil langsung tanpa perantara), peruntukan produk bebas komisen, perbandingan produk takaful atas talian dan rangka kerja penasihat kewangan dipertingkatkan," jelasnya.

Ab Latiff berkata, LIFTF akan menyokong amalan pasaran lebih baik dengan memperkenalkan Kad Skor Seimbang (BSC) bagi mengawasi prestasi agensi, mempertingkatkan pendedahan produk, menyediakan kemudahan akaun dalam talian dan penyediaan panduan perkhidmatan kepada pengguna.

Katanya, pengawasan prestasi agensi menerusi BSC akan memacu tenaga agensi dalam memberikan nasihat kepada pengguna dan titik jualan hingga kepada perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan kelangsungan produk.

"Pengguna juga menikmati produk lebih telus dengan pendedahan berkenaan produk‎ berkaitan yang dipertingkatkan dan mempunyai akses kepada akaun mereka menerusi kemudahan dalam talian," katanya.

Berita Harian X