Isnin, 22 Februari 2016 | 12:19am
ANTARA kain rentang yang menawarkan khidmat upah atau badal haji kepada orang ramai.
KAIN rentang dipasang oleh pihak tertentu bagi menawarkan khidmat upah atau badal haji kepada orang ramai.

Khidmat upah haji tipu


KUALA LUMPUR: Penawaran khidmat badal haji dengan bayaran serendah RM1,500 yang diiklankan secara meluas menerusi poster dan kain rentang yang dipasang sekitar surau dan masjid negara ini, menimbulkan keraguan banyak pihak.

Bayaran RM1,500 yang dikutip itu, didakwa tidak mencukupi bagi menampung kos pelaksanaan ibadat haji berkenaan yang biasanya dibuat untuk mereka yang meninggal dunia atau uzur.

Lembaga Tabung Haji (TH) serta Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) yang menawarkan khidmat sama, menyifatkan bayaran rendah itu sebagai tidak masuk akal.

Hakikat sama diakui pemastautin Makkah yang mengambil upah melaksanakan badal haji setiap tahun. Kemerosotan tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding riyal Arab Saudi juga menyebabkan kos badal haji meningkat.


SIJIL badal haji yang kosong boleh dibeli dari premis tertentu termasuk pasar mini di Makkah.

Badal haji bermaksud pelaksanaan ibadat itu diwakilkan waris si mati atau individu uzur memenuhi syarat haji (mampu segi kewangan) kepada individu lain atau pelaksana dengan upah tertentu. Hukum pelaksanaannya adalah wajib, jika si mati mempunyai harta.

Wartawan BH yang ke Makkah minggu lalu, mendapati pelaksana badal haji mengenakan caj 1,000 riyal atau RM1,122 bagi menampung kos pengangkutan, makan minum, khemah dan urusan berkaitan ibadat itu di Arafah dan Mina, manakala upah minimum mereka juga SR1,000 atau RM1,122.

Secara keseluruhannya kos minimum untuk mereka menguruskan ibadat itu hingga selesai adalah sekitar 2,000 riyal (RM2,250).

Semakan dengan agensi pengendali umrah dan haji yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) pula mendapati, mereka menetapkan antara RM2,200 hingga RM2,500 bagi badal haji dengan RM100 hingga RM150 diambil sebagai kos pengurusan serta perkhidmatan.

gn4id:12123768

Baki bayaran diserahkan sepenuhnya kepada pelaksana di Makkah, yang terdiri daripada pemastautin tanah suci termasuk dari Malaysia, Thailand dan Indonesia, sebagai upah dan kos berkaitan.

Pengurus Besar (Bimbingan) TH, Tengku Aziz Raja Abdullah, mengakui pihaknya menerima maklumat kewujudan pihak tertentu yang dikhuatiri melakukan penyelewengan dan penipuan dalam pelaksanaan ibadat badal haji.

"Pada harga RM1,500 memang tak logik kerana tak sepadan dengan upah yang perlu dibayar (kepada pelaksana badal haji). Ada keraguan dan unsur penipuan (berdasarkan caj yang dipromosi).

"Nak buat upah haji? (pada kadar RM1,500), tambang dari Makkah ke Arafah serta bayaran kepada muassasah saja sudah hampir 800 riyal (RM897). TH mengenakan bayaran RM2,500 bagi menguruskan badal haji," katanya.

Tengku Aziz mengakui pelaksanaan badal atau upah haji tidak dikawal seperti ibadat haji yang ditetapkan mengikut kuota 0.01 peratus dari jumlah keseluruhan populasi sesebuah negara Islam yang diberikan kerajaan Arab Saudi.


PENGURUS Besar (Bimbingan) TH, Tengku Aziz Raja Abdullah.

Katanya, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535) tidak mempunyai peruntukan mengenai pelaksanaan badal haji menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan terhadap sikap naif orang ramai, khususnya penduduk kampung.

Tinjauan BH selama dua minggu, mendapati poster dan kain rentang mengenai badal haji digantung di lokasi tumpuan umat Islam khususnya pada pagar masjid dan perumahan awam.

Kebanyakan iklan badal haji tidak mempunyai sebarang rujukan sama ada ditawarkan syarikat berdaftar, selain hanya memaparkan nama individu tertentu untuk dihubungi dan alamat sesawang.

Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang diterajui MOTAC pada penghujung 2014 bagi memantau penipuan umrah turut menyentuh penipuan badal haji dalam sesi penerangan kepada orang ramai, khususnya melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).    

Ketua Biro Umrah dan Haji Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ayob Mat Aris, menyifatkan tawaran badal haji, terutamanya pakej kelolaan ejen individu amat mencurigakan.


KETUA Biro Umrah dan Haji Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ayob Mat Aris. - Foto Mokhsin Abidin

"Saya curiga dengan pengutip badal haji ini kerana ada yang mengumpul hingga angka ribuan (pemohon badal haji) sedangkan kita tahu, seorang individu hanya boleh menunaikan satu badal haji dalam satu musim.

"Kecurigaan kita dikukuhkan lagi, apabila yang mengutip (upah haji) ini tidak pula pergi ke tanah suci," katanya yang juga Pengerusi Eksekutif Gemilang Travel & Tours Sdn Bhd iaitu di antara syarikat yang dilantik TH menguruskan badal haji pada kadar RM2,500 seorang.

Ketika ini, TH menetapkan kuota 2,500 orang untuk melaksanakan badal haji setiap tahun dan hanya 17 daripada 61 syarikat pengelola ibadat itu yang mempunyai kontrak perjanjian dengan muassasah (agensi pengendali haji dan umrah di Makkah), diberi kebenaran melaksanakannya. 

Namun, proses badal haji bermula daripada kutipan bayaran di negara ini hingga pelaksanaannya di Makkah, tidak dipantau pihak berkuasa, sebaliknya bergantung penuh kepercayaan waris kepada individu yang dilantik menguruskan ibadat itu.

Lazimnya, waris akan diberikan sijil badal haji yang dikeluarkan di Arab Saudi, selain disertakan dengan cenderahati seperti air zam-zam, sejadah dan al-Quran sebagai bukti ibadat itu dilakukan pelaksana badal haji di Makkah.


WARTAWAN BH membeli sijil badal haji kosong dengan mudah dari sebuah pasar mini di Makkah pada harga 3 riyal Arab Saudi (RM3.40) sekeping, dalam kunjungan ke tanah suci, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang ejen yang menawarkan khidmat upah haji dengan bayaran RM1,500 mendakwa, mampu menunaikan ibadat terbabit dengan menggunakan tenaga pelajar Malaysia yang menuntut di Makkah dan Madinah.

Ketika dihubungi, beliau berjanji untuk bertemu hari ini bagi memberi penjelasan lanjut berhubung dakwaan dan tawaran perkhidmatan itu.

Sementara itu, dalam tinjauan di Makkah, pula mendapati sijil badal haji yang dijadikan bukti pelaksanaannya boleh dibeli pada harga RM3.40 atau 3 riyal sekeping!

Siasatan wartawan BH, mendapati sijil badal haji yang tidak mempunyai sebarang pengesahan pihak berkuasa itu, mampu diperoleh dengan mudah termasuk di pasar mini.

Malah sijil badal haji yang dicetak dalam bahasa Arab dan Melayu terbabit juga boleh dibeli secara pukal pada harga sama, tanpa perlu membuat sebarang tempahan awal.

"Mahu sijil badal Malaysia atau Indonesia," tanya seorang pekerja sebuah pasar mini di sini, menggunakan bahasa Arab sebelum dicampur loghat Indonesia, sejurus menyedari wartawan BH dari Malaysia.

Wartawan BH dibawa ke premis berkenaan oleh sumber tempatan yang terbabit dengan pengendalian umrah dan haji, yang mengetahui penjualan sijil berkenaan di situ.

Di pasar mini yang terletak dalam radius lima kilometer dari Masjidilharam itu, wartawan BH membeli lima keping sijil badal haji kosong pada harga 15 riyal selepas memberi alasan menguruskan badal haji untuk jemaah Malaysia. 

Apa yang membezakan sijil badal haji di antara Malaysia dan Indonesia, hanyalah bendera yang tertera pada sijil yang dicetak, dengan beberapa tempat kosong perlu diisi termasuk nama, alamat, musim haji, pelaksana dan saksi.

BAHAGIAN KEDUA LAPORAN DALAM BH ESOK

 

169 dibaca
Berita Harian X