Isnin, 22 Februari 2016 | 6:50am

Perbanyakkan lagi lagu kerohanian

UNSUR hiburan tidak dapat dipisahkan daripada manusia. Agama menyediakan garis panduan hiburan kepada penganutnya.

Dalam agama Islam, hiburan itu dibatasi oleh kesederhanaan, sesuai syariah, tidak melalaikan, serta sentiasa menautkan hubungan makhluk dengan Pencipta.

Mutakhir ini banyak hiburan seolah-oleh terlepas daripada prasyarat di atas, termasuk hiburan pentas dan media elektronik. Hiburan ini seolah-olah mengembangkan fahaman hedonisme. Hedonisme meletakkan hiburan sebagai tujuan utama sesuatu persembahan. Hedonisme juga memaksimumkan tujuan keseronokan kepada khalayak.

Puisi kerohanian

Baru-baru ini kumpulan Kopratasa mengangkat lima petikan Mathnawi oleh Jalaluddin Rumi menjadi lagu puisi kerohanian, yang memberi makna baharu lagu yang bebas daripada unsur hiburan murahan.

Album Kopratasa Mathnawi Rumi diterbitkan oleh Luncai Emas dengan kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Album ini dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Ashraf Wajdi Dusuki di Institut Integriti Malaysia.

Kopratasa adalah sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang pada mulanya dianggotai trio Sani Sudin, Usop dan Siso. Bagaimanapun, dalam usaha mengangkat Mathnawi Rumi, hanya Sani Sudin dan Usop menjayakannya.

Sejak penubuhannya, kumpulan Kopratasa memang menampilkan lagu berunsur puisi yang menyentuh isu rakyat, ketuhanan dan masyarakat. Kumpulan ini mungkin turut dipengaruhi oleh muzik Kembara pimpinan Datuk M Nasir pada awal pembabitan mereka, kerana sama-sama cenderung kepada penghasilan lagu yang kaya dengan unsur puitis.

Kejayaan Kopratasa turut dilakar kerana hasil sumbangan puisi penyair terkenal tanah air seperti A Samad Said, Usman Awang, J M Aziz dan Abdul Aziz HM.

Lagu puisi Kopratasa, melalui lirik yang indah, mengapungkan erti dan rasa kemanusiaan. Ia sememangnya menyimpang daripada tarikan hedonisme yang membenarkan khalayak tersihir oleh kemabukan hiburan, seperti yang dikonsepsikan oleh Aristippus, murid Socrates, bahawa hiburan dan kegembiraan adalah puncak tujuan kehidupan manusia.

Jalaluddin Rumi pasti tidak menyetujui Aristippus. Maulana Jalaluddin Rumi adalah seorang penyair sufi yang lahir di Balkh (sekarang Afganistan) pada 6 Rabiulawal tahun 604 Hijriah, atau 30 September 1207 Masehi. Perpindahan keluarganya akibat ancaman serangan puak Mogol, membawanya ke wilayah yang pernah melahirkan Omar Khayyam dan Attar - yang karyanya turut dibaca.

Rumi menetap di Qonya, wilayah Turki. Pada 1244 M, Rumi bertemu dengan tokoh kerohanian Islam, Maulana Syamsuddin dari Tabriz, yang mengubahnya menjadi sempurna dalam ilmu tasawuf. Selepas Maulana Syamsuddin meninggal dunia, Rumi bertemu pula dengan Maulana Husamuddin Ghalabi dan mengilhaminya untuk menulis pengalaman kerohaniannya dalam karya agungnya Matsnawi-ye Ma'nawi.

Ciri khas puisi Rumi

Pengkaji berpendapat, puisi Rumi memiliki ciri khas berbanding puisi penyair sufi lain. Melalui Mathnawi Rumi menyampaikan pemahaman terhadap dunia mungkin didapati melalui cinta, bukan semata-mata melalui pandangan zahir. Ertinya cinta tahap tinggi. Dalam puisi Rumi sering menegaskan proses mendekati Tuhan sebagai satu tujuan kerana tidak ada sesuatu yang lain yang boleh disekutukan dengan Tuhan.

Lima petikan Mathnawi diangkat menjadi lagu kerohanian oleh Kopratasa, dengan judul Mawar, Seruling 1, Seruling 2, Ujud 1 dan Ujud 2. Judul Mawar dan Seruling itu adalah imejan serta metafora yang mendalam maknanya.

Wajar sekali kelima-lima lagu itu dihayati, terutama generasi muda di negara ini. Lopong jiwa dan akal budi akibat hedonsme yang melampau, wajar diisi semula dengan puisi kerohanian yang mengembalikan kepada kesedaran mutlak hubungan makhluk dengan Pencipta, Allah Azzawajalla.

Berita Harian X