Selasa, 23 Februari 2016 | 12:24am
AYDA meminati irama KPop dan berhasrat menampilkan pembaharuan dalam kerjaya nyanyian dengan mengetengahkan konsep muzik yang lebih segar. - Foto Shiraz Ali
SINGLE kedua Ayda Jebat, Pencuri Hati, dikatakan meniru muzik KPop. - Foto Nur Syafiqah Salsabila Mohd Zaki
AYDA akui rezeki belum menyebelahinya untuk bersaing pada kemuncak AJL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ayda Jebat nafi Pencuri Hati tiru lagu KPop

SINGLE kedua Ayda Jebat, Pencuri Hati, yang dilancarkan pada akhir bulan lalu menuai pelbagai reaksi pendengar dan paling mengesankan apabila lagu ciptaan Kevin Chin itu dikatakan meniru muzik KPop.

Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat, bagaimanapun tidak melatah dengan dakwaan peminat itu.

Baginya, setiap manusia mempunyai pandangan dan cita rasa tersendiri, terutama apabila menyentuh mengenai selera serta kecenderungan terhadap muzik.

Menolak dakwaan komposisi lagu itu terlalu dipengaruhi karya asing, Ayda berkata, Pencuri Hati yang turut terpilih sebagai runut bunyi drama rantaian, Isteri vs Tunang lakonan Scha Alyahya dan Hisham Hamid, tetap disuntik elemen muzik tempatan iaitu dangdut.

Justeru, Ayda yang diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 berharap, peminat bersikap terbuka dan menghormati cita rasanya terhadap muzik yang selari dengan jiwa serta usianya yang baru menjangkau 23 tahun.

"Saya akui meminati irama KPop, jadi mengapa tidak penggemar irama itu turut menyokong lagu ini? Saya cuma ingin menampilkan pembaharuan dalam kerjaya nyanyian dengan mengetengahkan konsep muzik yang lebih segar. Bagi saya, ia bukan satu kesalahan.


AYDA atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat. - Foto Aziah Azmee

"Muzik itu sendiri bersifat sejagat dan saya bebas memilih konsep atau genre yang disukai. Ingin saya tegaskan, muzik saya lebih cenderung kepada irama pop. Pencuri Hati adalah lagu pop Melayu atau MPop," kata Ayda mempertahankan pendiriannya.

Anak jati Ayer Keroh, Melaka itu juga berhasrat untuk sentiasa tampil dengan lagu yang mencerminkan identiti dirinya dan pada masa sama, berbeza daripada konsep yang diketengahkan penyanyi sedia ada.

Ayda tidak menafikan, selepas tampil dengan dua lagu rancak, Siapa Diriku dan Pencuri Hati, ramai peminat menyarankan supaya dirinya mencuba lagu balada kerana pasarannya yang lebih luas serta mudah mendapat perhatian pencinta muzik tempatan.

Namun, Ayda menegaskan, beliau mempunyai strategi tersendiri apabila mensasarkan lagu yang dinyanyikannya kepada kelompok pendengar sebaya dan remaja.

"Sama ada dalam lakonan atau nyanyian, saya akan pastikan kemunculan saya tidak sama dengan artis lain. Saya tidak nampak kenapa perlu saya beralih kepada lagu balada kerana jiwa saya lebih serasi dengan karya segar. Tidak susah untuk tampil berbeza, cuma kita perlu berani.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang mempercayai bakat dan berharap kerjaya nyanyian akan membawa saya melangkah lebih jauh seperti membolosi kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL). Saya percaya kepada rezeki. Jika peminat menerima, mereka akan undi sesuatu lagu untuk layak memasuki Separuh Akhir.


AYDA yang dinobat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014. - Foto Aziah Azmee

"Pada akhirnya, ia berbalik kepada rezeki. Mungkin rezeki belum menyebelahi saya untuk bersaing pada kemuncak AJL, tetapi saya tidak akan mengalah dan berhenti berusaha," katanya.

Berbalik kepada Pencuri Hati, Ayda berkata, lagu itu pada mulanya digarap dalam rentak dangdut tekno oleh penerbit terkenal Indonesia, Irwan Simanjuntak. Bagaimanapun, Ayda melakukan sedikit perubahan apabila susunan muzik lagu itu dilakukan semula untuk disesuaikan dengan minat dan cita rasa peminat tempatan.

Berlakon dengan Osman Ali

Beralih mengenai kerjaya lakonannya, Ayda yang terkenal menerusi drama rantaian, Rindu Awak 200 Peratus dan Sesal Separuh Nyawa bakal melangkah ke set penggambaran filem pertamanya pada pertengahan bulan depan. Ayda akan berlakon dalam filem, Pinjamkan Hatimu arahan pengarah prolifik, Osman Ali yang memulakan penggambarannya pada 20 Mac depan.

"Saya sudah lama mengimpikan untuk berlakon dalam filem arahan abang Osman. Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengannya dalam sebuah telefilem dan mengakui tertarik dengan cara kerjanya. Pernah saya suarakan hasrat untuk berlakon filem arahannya.


AYDA bakal muncul dalam filem pertamanya, Pinjamkan Hatimu arahan pengarah prolifik, Osman Ali. - Foto Nur Syafiqah Salsabila Mohd Zaki

"Tidak sangka, ia mendapat reaksi positif daripada pengarah itu. Lebih membuat saya terharu, abang Osman juga memberi penghormatan kepada saya untuk memilih hero yang bakal bergandingan. Ketika ini, proses pemilihan pelakon lelaki utama masih dilakukan dan kami akan umumkan apabila bertemu calon yang sesuai kelak," katanya.

Ayda yang mengakui teruja turut melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan kemunculan sulungnya di layar perak nanti tidak mengecewakan peminat.

Berita Harian X