Selasa, 23 Februari 2016 | 12:28am
IKLAN khidmat upah atau badal haji kepada orang ramai.
SEKURANG-kurangnya dua juta umat Islam seluruh dunia menunaikan haji setiap tahun. - Foto AFP
UNIVERSITI Islam Madinah
UNIVERSITI Umul Qura, Makkah.
SEBAHAGIAN daripada pelajar Malaysia yang mengambil upah mengerjakan badal haji di Makkah pada musim lalu. - Foto ihsan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA) Madinah
SEBAHAGIAN daripada pelajar Malaysia yang mengambil upah mengerjakan badal haji di Makkah pada musim lalu. - Foto ihsan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA) Madinah

Pelajar di Makkah dedah tembelang

KUALA LUMPUR: "Jangan jaja nama penuntut Malaysia di Makkah dan Madinah, kononnya mampu menunaikan badal haji pada harga RM1,500"

Penegasan itu dibuat Persatuan Pelajar Malaysia Makkah (PPMM) dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA) Madinah kerana khidmat itu hanya dapat disempurnakan pada anggaran kos di antara 3,000 hingga 4,000 riyal Arab Saudi (RM3,350-RM4,470).

Kenyataan itu sekali gus membongkar dakwaan ejen badal atau upah haji yang mengutip bayaran serendah RM1,500 kerana mendakwa penuntut Malaysia di tanah suci, membantu bagi menguruskan ibadat itu bagi pihak syarikat mereka.

Ketika ini ada seramai 266 pelajar Malaysia di Makkah dan Madinah, iaitu 16 di Universiti Umul Qura, Makkah dan 250 lagi di Universiti Islam Madinah.

Presiden PPMM, Afiq Hadi Mohd Fauzi, yang juga pelajar Tahun Dua Jurusan al-Quran dan Hadis Universiti Umul Qura, menyifatkan dakwaan kononnya pelajar di Makkah mengambil upah badal haji sebanyak RM1,500 sebagai satu penipuan.

PRESIDEN PPMM, Afiq Hadi Mohd Fauzi.

Beliau berkata, ini kerana anggaran kos badal haji adalah sekitar 3,000 riyal (RM3,350) dengan sebahagian besar bayaran perlu dibuat kepada muassasah bagi mendapatkan tasrih atau lesen sebanyak 1,000 riyal (RM1,110) dan pengangkutan 800 riyal (RM890).

"Setahu saya, tiada pelajar Malaysia di Makkah ataupun senior kami yang mengambil upah serendah itu (RM1,500). Apatah lagi pelajar dari Madinah yang memerlukan kos lebih tinggi terutama membabitkan pengangkutan.

"Ketika musim haji, kos pengangkutan meningkat dengan mendadak. Misalnya, bayaran teksi dari Makkah ke Arafah yang asalnya antara 15 riyal (RM17) hingga 20 riyal (RM22) naik hingga 100 riyal (RM110)  ke 150 riyal (RM167).

"Ada agensi pelancongan yang mengambil pemastautin Makkah berasal dari Indonesia dan Pattani dengan upah 1,000 hingga 1,500 riyal (RM1,110- RM1,670) tetapi ia mustahil (dilakukan)," katanya dihubungi BH di Makkah, semalam.

Afiq Hadi mengulas laporan muka depan BH semalam, mengenai isu pelaksanaan badal atau upah haji serendah RM1,500 yang menimbulkan keraguan ramai pihak ketika pengiklanan dan pelaksanaan ibadat itu tidak dipantau.

SEBAHAGIAN daripada pelajar Malaysia ketika mengerjakan badal haji di Makkah. -Foto Ihsan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA) Madinah

Wartawan BH berlepas ke Makkah minggu lalu, bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pelaksanaan badal haji dan mendapati wujudnya ruang penipuan, malah mendapati sijil badal haji boleh dibeli pada harga RM3.40 sekeping.

Siasatan BH di Makkah dengan menemubual pemastautin yang mengambil upah haji, mutawwif dan individu tertentu di Makkah mendapati kadar upah RM1,500 yang diiklankan di Malaysia tidak cukup untuk menampung kos.

Afiq mendakwa, ada pelaksana badal haji (bukan pelajar Malaysia) yang menunaikan ibadat itu secara sekaligus dan bersikap tidak jujur dengan hanya membuat sebahagian kewajipan haji seperti mengerjakan wukuf atau tawaf saja.

Setiausaha Agung PERSADA Madinah, Muhammad Jamilul Aizat Kamarulazahar, berkata setiap tahun secara purata 100 pelajar Malaysia akan ke Makkah bagi membuat upah haji yang kebetulan jatuh pada musim cuti pengajian.

Katanya, anggaran bayaran badal haji dilakukan pelajar dari Madinah adalah di antara RM3,350 (3,000 riyal) hingga RM4,470 (4,000 riyal) kerana sebahagian besar membabitkan kos pengangkutan mencecah 1,400 riyal, termasuk dari Madinah ke Makkah.

SETIAUSAHA Agung PERSADA Madinah, Muhammad Jamilul Aizat Kamarulazahar.

"Biasanya pelajar dari Madinah pergi dengan kereta. Kalau nak jimat, naik bas ramai-ramai. Kos makan minum, pengangkutan, hotel dan urusan berkaitan mencecah RM3,350," katanya.

Muhammad Jamilul yang juga pelajar jurusan bahasa Arab di Universiti Antarabangsa Madinah, turut merasa pelik dengan dakwaan pihak tertentu kononnya menyediakan khidmat badal haji dengan kos serendah RM1,500.

"Kita tak pasti yang buat (badal haji) ini pelajar atau pekerja di Makkah. Kalau pelajar Malaysia di Madinah memang tidak ambil upah serendah itu kerana tidak sepadan," katanya menegaskan pelaksanaan ibadat haji amat mencabar.

Difahamkan, upah haji yang juga sumber pendapatan utama penduduk Makkah mahal disebabkan ia sangat menguji dan mencabar. Tahun lalu suhu di Arafah ketika jemaah melakukan wukuf, mencecah 50 darjah celsius.

Sementara itu, sumber Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, pelajar asing atau pemastautin yang mengerjakan badal atau upah haji tanpa menjelaskan bayaran tasrih (lesen) melalui muassasah, adalah menyalahi undang-undang Arab Saudi.

Jika ditangkap pihak berkuasa Arab Saudi atas kesalahan itu, status sebagai pelajar atau pemastautin boleh dibatalkan serta merta, sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Beliau berkata, tindakan pihak tertentu dari Malaysia melaksanakan badal haji tanpa menjelaskan bayaran tasrih bertentangan dengan undang-undang pihak berkuasa negara itu.

"Kita maklum ada yang buat (badal haji) secara curi-curi tanpa melalui muassasah (agensi pengendali haji di Makkah) tetapi tindakan ini boleh dikenakan tindakan tegas Arab Saudi.

"Kalau kena tangkap boleh dihantar balik ke negara asal. Kalau ia babitkan rakyat Malaysia yang berada di sana, ia boleh menjejaskan nama baik negara," katanya kepada BH.

Wartawan BH yang menyamar sebagai waris, menemui seorang wakil syarikat menawarkan khidmat badal haji di sekitar Lembah Klang dengan kos serendah RM1,500.

Ejen yang dikenal pasti berdasarkan nombor telefon daripada kain rentang itu, mendakwa pihaknya mampu melaksanakan badal haji pada kadar RM1,500 kerana menggunakan penuntut Malaysia di Makkah dan Madinah.

"Kami sebenarnya membabitkan tiga syarikat yang bekerjasama. Ada kira-kira 150 hingga 200 pelajar Malaysia (sebagai pelaksana badal haji) tapi kita tak terima semua (permohonan badal haji).

"Upah haji kita memang RM1,500 sejak tahun 2000," katanya mengakui syarikat yang diwakilinya hanya berdaftar sebagai pembekal barangan haji dan umrah, tetapi bukannya khidmat badal haji.

Ejen itu mendakwa, daripada jumlah RM1,500 yang dikutip, sebanyak RM1,000 akan diserahkan kepada seorang mutawwif Indonesia di Makkah, yang kemudiannya mengagihkan kepada pelaksana.

"Pelajar kita masuk bukan melalui muassasah, kira macam orang Makkah. Mereka memang ada di sana bukan macam orang luar yang kena ikut kuota dan ada lesen," katanya.

Ejen itu mendakwa, beliau sendiri ketika melakukan haji sebelum ini hanya duduk di bawah jambatan tanpa memasuki kawasan khemah di Mina.

Dakwanya, pelaksana badal haji yang dilantik juga menggunakan helah sama ketika menguruskan tanggungjawab itu dengan waris akan diberikan sijil dikeluarkan syarikat itu sendiri.

Tamat

 

Berita Harian X