Selasa, 23 Februari 2016 | 3:56pm

Sentimen pelabur ke atas asas ekonomi Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Sentimen pelabur ke atas asas ekonomi Malaysia telah meningkat sebagaimana dicerminkan dalam pemulihan portfolio pelaburan, daripada aliran keluar bersih RM24.4 bilion pada suku ketiga 2015 (3Q15) kepada aliran masuk bersih RM14.9 bilion pada 4Q15.

Dalam satu nota penyelidikan, Affin Hwang Capital, menyatakan ini adalah kenaikan sukuan positif pertama sejak 2Q14 disebabkan aktiviti belian bersih ke atas bon, terutama Sekuriti Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pelaburan langsung juga mencatat aliran masuk bersih RM5.7 bilion pada 4Q15 selepas empat suku berturut-turut aliran keluar bersih turut menyokong kedudukan rizab.

Bagaimanapun, dengan momentum pertumbuhan global yang lebih rendah, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan telah menyemak turun ramalan pertumbuhan global untuk 2016.

"Kami percaya ekonomi pasaran baharu dijangka mengalami momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah tahun ini yang akan membawa kepada kemungkinan lebih banyak kelonggaran dasar kewangan di kalangan bank pusat serantau," menurutnya.

Menurut Affin Hwang Capital, Bank Indonesia baru-baru ini mengurangkan kadar dasarnya dua kepada tujuh peratus di samping menurunkan keperluan rizab kepada 6.5 peratus bagi merangsang pertumbuhan domestik berikutan prestasi perdagangan yang lemah.

"Kami percaya Malaysia, sebagai ekonomi terbuka di mana jumlah perdagangan sebenar dalam barangan dan perkhidmatan menyumbang 137.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, akan juga menerima kesan daripada cabaran luaran melalui saluran perdagangan," menurutnya.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat AS$0.1 bilion kepada AS$95.6 bilion pada separuh pertama bulan berakhir 15 Februari 2016 berbanding AS$95.5 bilion setakat 29 Januari 2016.

"Pada paras sekarang, rizab Malaysia cukup untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh, rendah sedikit daripada 8.4 bulan berbanding akhir Januari disebabkan sebahagiannya oleh nilai import yang lebih tinggi berikutan kelemahan ringgit.

"Bagaimanapun, liputan rizab jangka pendek telah meningkat kepada 1.2 kali berbanding 1.1 kali sebelum ini," menurutnya.

Rizab Malaysia telah stabil sejak 4Q15 sebahagiannya disokong lebihan dagangan yag cukup yang naik daripada RM22.2 bilion pada 3Q15 kepada RM30.4 bilion pada 4Q15 dan menghasilkan lebihan akaun semasa yang lebih tinggi kepada RM11.4 bilion pada 4Q15 (RM5.1 bilion pada 3Q15).

Firma penyelidikan itu menjangka BNM mengekalkan dasar monetari yang akomodatif dan membiarkan kadar dasar semalamannya tidak berubah pada 3.25 peratus sepanjang 2016.

Menurutnya, rizab negara akan disokong oleh aliran masuk daripada pendapatan eksport kerana Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada perdagangan dan lebihan akaun semasa.

"Kami menjangka lebihan akaun semasa yang mengecil 28.1 peratus daripada RM47.3 bilion pada 2014 kepada RM34 bilion (tiga peratus daripada Pendapatan Negara Kasar) akan kekal tinggi sekitar RM20 bilion hingga RM25 bilion (dua peratus daripada PNK) yang diunjur pada 2016," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X