Rabu, 24 Februari 2016 | 12:13am

Ejen tawar laksana badal haji RM670

MAKKAH: Ada pihak di Makkah didakwa mengumpulkan senarai pemohon badal haji dari Malaysia dan Indonesia sebelum menawarkan upah serendah 600 riyal (RM670) kepada pelaksana badal haji yang sanggup menerima upah rendah.

Ejen badal haji dari dua negara terbabit pula mempunyai hubungan dengan individu tertentu di Makkah yang mana senarai nama mereka yang mahu membuat badal haji diserahkan padanya untuk "urusan lanjut" di tanah suci itu.

Bagaimanapun, pemastautin Makkah yang biasa dengan urusan berkenaan meragui upah serendah itu kerana ia tidak pun berbaloi dengan kos yang ditanggung pelaksananya yang biasa.

Pendedahan itu dibuat seorang pemastautin di Makkah kepada wartawan BH yang berada di tanah suci minggu lalu, ketika banyak pihak termasuk Tabung Haji mempertikaikan sama ada ia boleh dilakukan pada harga upah serendah itu.

KERATAN akhbar BH pada 22 Februari 2016 yang mendedahkan khidmat upah haji tipu.

KERATAN akhbar BH pada 23 Februari 2016.

Ini kerana dengan upah serendah itu, ia tidak mencukupi bagi menampung kos minimum pengangkutan, khemah di Mina, makan minum dan urusan berkaitan yang dianggarkan mencecah 1,000 riyal (RM1,110).

Penduduk Makkah yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad mendakwa individu yang menerima senarai nama pemohon badal haji dari ejen di negara asal itu juga mengenakan bayaran antara 1,000 riyal hingga 1,200 riyal bagi setiap individu.

"Memang ada berlaku penyelewengan. (Dengan bayaran 600 riyal hingga 700 riyal) tidak tentu (pelaksana) orang yang diupah akan menunaikan badal haji (kerana upah rendah)," katanya yang turut mengambil upah haji pada setiap musim haji.

Wartawan BH berada di Makkah selama lima hari bermula 10 Februari lalu untuk menyiasat dakwaan penipuan badal haji selain memeriksa kos anggaran minimum mengerjakan badal haji lebih-lebih lagi ketika nilai ringgit menurun pada masa ini.

Ini berikutan kebimbangan ramai pihak mengenai tawaran upah haji serendah RM1,500 yang didakwa menggunakan khidmat pelajar Malaysia di Arab Saudi sebagai pelaksana badal haji, tanpa sebarang pemantauan.

PERSATUAN Pelajar Malaysia Makkah (PPMM) dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (MADINAH) menafikan ada pelajar Malaysia yang mengambil upah serendah RM1,500.

Semalam Persatuan Pelajar Malaysia Makkah (PPMM) dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (MADINAH) menafikan ada pelajar Malaysia yang mengambil upah serendah RM1,500, malah menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan.

Muhammad berkata sebahagian penduduk Makkah melaksanakan badal haji tanpa membayar tasrih atau lesen melalui muassasah bagi mengurangkan kos, namun mereka masih perlu mengeluarkan kos pengangkutan, makan minum dan sewa khemah.

"Paling sikit upah saya ambil RM2,500. Kalau RM1,500 memang tak logik sebab sini bayaran banyak untuk buat badal haji," katanya menjelaskan badal haji yang hanya boleh dilakukan sekali setahun dan antara sumber pendapatan penduduk Makkah.

Difahamkan, pemastautin di Makkah iaitu mereka yang bukan penduduk asal, perlu membayar 5,000 riyal (RM5,600) setiap tahun kepada Kerajaan Arab Saudi untuk permit kerja.

SETIAUSAHA Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, menggesa pihak berkuasa dan orang ramai bekerjasama memantau iklan khidmat badal haji yang meragukan bagi memastikan tiada pihak ditipu.

Beliau juga menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji (TH) dan majlis agama Islam negeri mengeluarkan garis panduan khusus, termasuk anggaran kos pelaksanaan badal haji sebagai rujukan masyarakat.

"Mereka juga boleh mewujudkan talian hotline khas sebagai rujukan orang ramai," katanya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau iklan-iklan badal haji mencurigakan yang digantung di tempat awam, termasuk di surau dan masjid. 

Pandangan mufti

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata badal haji atau upah haji tidak sah sekiranya individu yang melaksanakannya melakukannya untuk lebih daripada seorang pada sesuatu musim haji.

Seseorang pelaksana badal haji juga perlu individu yang sudah pernah menunai ibadat haji sebelum itu.

MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Katanya, pihak yang tidak menepati syarat ini sebagai melakukan penipuan kepada waris yang mengupah badal haji itu.

Katanya, pelaksanaan badal haji bergantung kepada kejujuran pelaksana yang dilantik waris si mati atau individu uzur.

"Ini bergantung kepada kejujuran orang itu (pelaksana), kalau tipu maka dia tanggung (dosa). (Pelaksanaan badal haji) memang tak boleh lebih seorang, kalau buat (lebih dari seorang) hukumnya tidak sah," katanya.

Harussani diminta mengulas mengenai isu penipuan badal haji yang menggusarkan masyarakat selepas penawaran dan pelaksanaannya tidak dikawal atau dipantau mana-mana pihak.

Beliau menasihatkan waris yang ingin membuat badal haji memeriksa kesahihan pihak yang menawarkan khidmat badal haji itu selain menyemak pelaksana badal haji di tanah suci.

"Adalah lebih baik jika badal haji ini dilakukan anak atau saudara-mara sendiri," kata Harussani menasihatkan individu yang mampu dan memenuhi syarat mengerjakan haji ketika masih muda.

 

Berita Harian X