Rabu, 24 Februari 2016 | 6:18pm

PM lawat tapak pameran MITEC

NAJIB mendengar penerangan daripada SM Faliq (dua dari kiri) di tapak pembinaan MITEC, di Jalan Duta, hari ini. - Foto Yazit Razali
NAJIB mendengar penerangan daripada SM Faliq (dua dari kiri) di tapak pembinaan MITEC, di Jalan Duta, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meluangkan hampir setengah jam melawat tapak pembinaan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Duta di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri tiba di tapak pembinaan MITEC pada jam 5 petang dengan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir pada sesi lawatan itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad; dua Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan NAZA, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan SM Nasarudin SM Nasimuddin serta Timbalan Pengerusi Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan NAZA TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.

Najib diberi taklimat mengenai perkembangan projek MITEC dan KL Metropolis yang secara keseluruhannya bermula pada akhir 2012.

Projek MITEC dimajukan oleh NAZA TTDI dan dijangka siap serta diserahkan kepada kerajaan pada Ogos tahun ini.

Pusat pameran setinggi tiga tingkat dengan berkeluasan 141,191 meter persegi itu mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM628 juta.

Ia dilengkapi dengan 11 buah dewan, tiga bilik tetamu kenamaan, 10 bilik mesyuarat, sebuah restoran dan lima kafe serta mempunyai 1,911 ruang meletak kenderaan.

MITEC adalah satu daripada tujuh plot projek KL Metropolis fasa pertama yang kini 88 peratus siap.

Berita Harian X