Rabu, 24 Februari 2016 | 7:43pm

PPK Batu Kurau bakal laksana projek ternakan kambing boer


KAMBING boer. - Foto hiasan

TAIPING: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Kurau akan melaksanakan projek ternakan kambing boer di Pondok Tanjung di sini di atas kawasan seluas kira-kira 80 hektar, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata, sebagai permulaan, projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu bakal membabitkan seramai lima penternak yang juga anggota PPK Batu Kurau.

"PPK Batu Kurau akan menjadi PPK pertama di Perak yang melaksanakan projek ini bagi memberi peluang kepada ahlinya memajukan ternakan kambing boer secara komersial," katanya hari ini.

Beliau berkata berkata ketika ini PPK Batu Kurau sedang menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi melaksanakan projek berkenaan yang juga akan membekalkan baka kambing.

Raja Ahmad yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pelaburan yang akan dibuat oleh PPK bagi projek itu.

Ketika ini, hanya terdapat sebuah syarikat melaksanakan projek ternakan kambing boer di Pondok Tanjung, katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad mencadangkan supaya Agro Bank Malaysia membuka cawangan mini dan menempatkan mesin juruwang automatik (ATM) di semua PPK di Perak untuk memberi kemudahan kepada petani, peladang dan penternak.

Beliau berkata, setakat ini hanya bandar-bandar besar seperti Parit Buntar, Taiping, Ipoh, Teluk Intan dan Manjung yang mempunyai kaunter bank berkenaan.

"Saya dapati petani dan peladang mengalami kesukaran untuk berurusan dengan bank itu yang terletak jauh dari kawasan mereka.

Kalau bank itu meletakkan mesin ATM juga lebih bagus kerana ia akan memudahkan petani dan peladang untuk mengeluarkan wang mereka," katanya.

- BERNAMA

122 dibaca
Berita Harian X