Rabu, 24 Februari 2016 | 8:38pm

14 gadis bersaing rebut RM100,000 dalam Clever Girl


BARISAN peserta yang berjaya melayakkan diri sebagai peserta program terbaharu terbitan TV3, Clever Girl Malaysia (CGM). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PETALING JAYA: Lima peguam dan seorang ahli petrofizik adalah antara 14 peserta yang berjaya melayakkan diri sebagai peserta program terbaharu terbitan TV3, Clever Girl Malaysia (CGM).

Turut berada dalam senarai peserta rancangan yang akan mula disiarkan pada 13 Mac depan itu ialah masing-masing seorang jurutera operasi, eksekutif pemasaran, pegawai aktuari dan pengurusan risiko, penasihat kewangan serta tiga mahasiswa.

Mewakili 14 negeri, mereka akan bersaing merebut gelaran gadis paling pintar dalam program berbentuk permainan berkenaan, sekali gus merebut hadiah wang tunai RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, berkata peserta bakal menyahut cabaran bagi menyangkal tanggapan popular, 'mereka yang cantik rupawan, tidak berakal'.

"CGM akan menjadi program ilmiah untuk tontonan ramai. Setiap peserta mampu menjadi sumber inspirasi kepada gadis di luar sana untuk terus menempa kejayaan.

"Selain itu program ini dapat membuktikan mereka mampu menjadi ikon kepada masyarakat dengan menjadi insan yang bijak dan pintar," katanya pada majlis sidang media mengumumkan peserta rancangan terbabit, di sini petang tadi.

Dilihat bakal mengembalikan era program permainan bercorak intelektual seperti Who Wants To Be A Millionaire dan Roda Impian, rancangan terbabit tidak menggunakan sebarang sistem undian, sebaliknya peserta dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan menjawab soalan kuiz.

CGM akan bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada jam 9 malam setiap Ahad. Penonton juga berpeluang mengikuti perkembangan dan persiapan peserta dalam Diari Clever Girl Malaysia, jam 6 petang, setiap Ahad, bermula 6 Mac depan.

Berita Harian X