Khamis, 25 Februari 2016 | 12:06am
BESI yang terdedah di sebuah tapak pembinaan ketika anggota JKKP menjalankan pemeriksaan. - Foto Asyraf Hamzah
SEBAHAGIAN besar kontraktor gagal mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak binaan. - Foto Asyraf Hamzah
AIR yang bertakung dan besi cerucuk yang terdedah di tapak pembinaan ketika anggota JKKP menjalankan pemeriksaan. - Foto Asyraf Hamzah
PENDAWAIAN elektrik yang terdedah di tapak pembinaan. - Foto Asyraf Hamzah
PEKERJA warga asing melakukan kerja dalam keadaan berbahaya di sebuah tapak pembinaan di ibu kota. - Foto Asyraf Hamzah

Pekerja asing guna sijil kendali kren palsu


KUALA LUMPUR: Ejen pembekal tenaga kerja asing kepada tapak pembinaan di Lembah Klang dipercayai turut menyediakan sijil kompetensi palsu bagi mengendalikan kren kepada pekerja asing.

Kegiatan pemalsuan sijil kompetensi itu membabitkan pengendalian kren jenis menara, berantai dan beroda.

Kegiatan itu terbongkar dalam Operasi Tapak Bina yang dilancarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya selama seminggu bermula 15 Februari lalu.

Pegawai JKKP mendapati 39 kesalahan di 60 tapak binaan yang diperiksa dalam operasi itu menggunakan khidmat warga asing sama ada dari Bangladesh atau Indonesia yang mengendalikan tiga jenis kren itu menggunakan sijil kompetensi palsu.

Timbalan Pengarah Operasi JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir Zamzurin Maarof, berkata sijil kompetensi berkenaan kelihatan seperti asli menggunakan butir peribadi pemilik sijil tempatan yang sah tetapi gambar padanya ditukarkan kepada warga asing terbabit.

TIMBALAN Pengarah Operasi JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir Zamzurin Maarof. - Foto Rosela Ismail

Bagaimanapun, tembelang itu terbongkar kerana JKKP tidak mengeluarkan sijil berkenaan kepada warga asing apatah lagi untuk mengendalikan jentera itu di sini.

Katanya, rakyat tempatan yang mahu mengendalikan tiga jenis kren berkenaan perlu lulus kursus khas yang disediakan di pusat latihan diiktiraf sebelum dinilai layak oleh JKKP.

Syarikat kontraktor dipercayai dapat menjimatkan kos dengan menggunakan pengendali kren warga asing berbanding warga tempatan yang biasanya perlu dibayar antara RM700 hingga RM7,000 sehari.

"Mengikut dasar JKKP, sijil kompentesi tidak boleh dikeluarkan kepada pekerja asing.

"Kemungkinan juga wujud kegiatan melatih pekerja asing untuk mengendalikan jentera berkenaan tanpa mengikut prosedur betul yang boleh mengancam keselamatan diri buruh ketika latihan dijalankan," katanya kepada BH.

Zamzurin berkata kontraktor perlu membuat semakan dengan JKKP terhadap kesahihan sijil kompetensi sebelum mengambil operator kren berkenaan bekerja.

ZAMZURIN (kanan) bersama anggotanya menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di ibu kota. - Foto Asyraf Hamzah

"Ada 1,415 kren bergerak dan 327 kren menara yang aktif di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana majoriti digunakan di tapak pembinaan.

"Selain itu, ada 219 orang operator kren menara, 550 orang operator kren bergerak, dan 290 orang operator kren derik (tayar berantai) yang kompetensi serta berdaftar dengan JKKP," katanya.

JKKP mengeluarkan notis larangan pengendalian kren mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Akta Kilang dan Jentera (AKJ) 1967 kepada kontraktor terbabit.

Daripada 154 notis kesalahan yang dikeluarkan, 84 daripadanya membabitkan kesalahan berkaitan pemasangan dan penyenggaraan perancah yang dikendalikan oleh pekerja asing yang tidak ada sijil kompetensi dalam tugas itu.

Warga tempatan yang mahu memperoleh sijil kompetensi pemasangan perancah juga perlu lulus kursus khas dan dinilai layak oleh JKKP.

BH difahamkan, kontraktor mengambil jalan mudah menggunakan pekerja asing bagi memasang dan menyenggara perancah untuk menjimatkan kos.

Biasanya, menggunakan pemegang sijil kompetensi pemasangan perancah tempatan boleh membabitkan kos hingga ribuan ringgit sehari.

Zamzurin berkata pemegang sijil kompetensi perlu hadir dan menyelia pemasangan perancah jika dibantu pekerja asing.

Katanya, dalam operasi itu, JKKP mendapati 98 peratus kontraktor gagal mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak binaan.

JKKP juga mendapati kesalahan lain yang dilakukan termasuk pemasangan perancah tanpa reka bentuk sah; tepian terbuka yang tidak dihadang dan penggunaan peralatan pelindung diri yang rosak.

TERDAPAT takungan air di sebuah tapak pembinaan ketika anggota JKKP menjalankan pemeriksaan. - Foto Asyraf Hamzah

PEGAWAI JKKP menunjukkan kawasan takungan air dan tepian yang tidak mempunyai penghadang. - Foto Asyraf Hamzah

Pekerja tidak diberi kursus keselamatan

Sementara itu, sebanyak 34 daripada 41 kematian di tapak binaan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara 2013 hingga tahun lalu adalah warga asing.

Statistik JKKP menunjukkan baki sebanyak tujuh mangsa adalah warga tempatan dalam tempoh sama.

Dalam tempoh sama, 42 buruh binaan cedera manakala lima lagi hilang upaya.

Katanya, mereka terbabit dalam kemalangan seperti jatuh dari tempat tinggi, ditimpa objek dan tersepit pada objek.

"Manakala punca kemalangan di tapak bina pula antaranya adalah persekitaran tempat kerja, kerja mengangkat barang dan peralatan.

BESI cerucuk yang terdedah di sebuah tapak pembinaan. - Foto Asyraf Hamzah

PERALATAN keselamatan yang rosak dipakai pekerja. - Foto Asyraf Hamzah

"Kemalangan berpunca akibat kelemahan pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Majikan yang gagal mematuhi peruntukan perundangan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti tidak lebih RM50,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya," katanya kepada BH.

Beliau berkata sebahagian besar pekerja binaan tidak faham mengenai keselamatan diri di tapak binaan dipercayai akibat majikan masing-masing tidak memberi taklimat atau kursus.

Berita Harian X