Khamis, 25 Februari 2016 | 2:22pm

Faizal kini bergelar penerbit program TV

PENGACARA, Faizal Ismail. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengacara, Faizal Ismail, melangkah setapak lagi dalam industri penyiaran sebagai produser menerusi penerbitan dua program untuk siaran sebuah stesen televisyen.

Katanya, selain memberi fokus terhadap bidang pengacaraan, tumpuan kini menjurus kepada tugasan di belakang tabir dan produksi menerusi syarikat miliknya, FBI Entertainment Sdn Bhd.

"Skop perniagaan di bawah syarikat saya diperluaskan, daripada mengendalikan acara, kini kami sudah menghasilkan dua rancangan untuk televisyen.

"Program yang dijadualkan muncul bulan depan adalah rancangan masakan, Masaklah Kau, disusuli sebuah rancangan realiti pertandingan yang bakal diumumkan kelak.

"Biar berdepan persaingan sihat dan cabaran, saya dapat merealisasikan kedua-dua produk ini dengan sokongan kru berpengalaman. Tanggungjawab sebagai penerbit memang sukar, tetapi menyeronokkan," katanya yang sudah tiga tahun meninggalkan tugasan sebagai penyampai radio.

Semakin ligat di arena pengacaraan, katanya, perancangan menerbitkan program TV sendiri sudah ada sejak dulu, namun baharu tahun ini dapat direalisasikan.

"Bukan mudah untuk berbuat demikian kerana kita perlu menyediakan bajet secukupnya bagi menghasilkan produk yang bagus, selain mempunyai 'faktor wow' untuk menjadikan hasil kita itu diterima stesen TV," ulas calon awal Pengacara Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2015 itu.

Akuinya, walaupun beliau pernah bekerja dengan pelbagai stesen televisyen, tidak bermakna mudah untuknya meraih slot atau menjual programnya tanpa bersandarkan kualiti.

"Seperti rumah produksi lain, saya perlu membuat persediaan rapi sebelum sesi 'pitching' dan tampil bersama idea segar untuk membolehkan produk kita dipilih menghiasi kaca TV," ulasnya.

Berita Harian X