Khamis, 25 Februari 2016 | 8:22pm

Usahawan kraf perlu peka keperluan semasa

ROSMAH melihat songket yang dijual sambil dibantu peniaga, Datuk Kamarudin A Rahman (kiri) selepas Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Golongan usahawan kraf perlu peka dengan strategi pemasaran semasa bagi membolehkan produk mereka dipasarkan ke seluruh dunia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata perkembangan itu perlu diseimbangi dengan produk yang memiliki sentuhan kreatif bercirikan natif dengan nilai komersial.

"Untuk menembusi pasaran antarabangsa, usahawan kraf perlu peka dengan strategi pemasaran semasa.

"Hari ini, semua perkara boleh diperoleh di hujung jari terutama dalam transaksi jual beli.

"Justeru, usahawan perlu melangkah ke depan dengan menjadikan perniagaan atas talian sebagai landasan memasarkan produk kraf tangan," katanya berucap merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sebagai langkah mengetengahkan produk kraf tangan negara, 'Natif ke Kreatif' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kraf Kebangsaan ke-14 yang menggambarkan aliran tradisional berteraskan resam dan budaya tradisional sebagai inspirasi penghasilan produk kontemporari.

Rosmah berkata, selain mengguna pakai teknologi moden, usahawan perlu memperbaharui hasil produk supaya mengikut peredaran zaman.

Katanya, Perbadanan Kraftangan harus memberi penekanan terhadap penyelidikan dan pembangunan produk, teknologi pengeluaran, penerokaan bahan baharu dan kawalan mutu.

"Kepelbagaian fungsi dan penggunaan hasil keluaran kraf perlu dilaksanakan untuk mencipta kelainan produk dihasilkan," katanya.

Hari Kraf Kebangsaan yang bermula semalam hingga 6 Mac ini turut mempamerkan hasil kraf tangan terbaik usahawan, selain memberi pengiktirafan kepada golongan sasar sejajar komitmen membangunkan industri kraf negara.

Berita Harian X