Khamis, 25 Februari 2016 | 8:23pm

Murid cedera dihempap dinding kayu dewan sekolah

ANGGOTA JPAM dan guru menenangkan seorang murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Jasin cedera dihempap struktur dinding kayu dewan sekolahnya, dipercayai akibat angin kencang, hari ini. - Foto JPAM

JASIN: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Jasin di sini, cedera dihempap struktur dinding kayu dewan sekolahnya, dipercayai akibat angin kencang, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.46 tengah hari itu, Nurul Izati Amira Zakaria, 8, dipercayai dihempap dinding ketika melalui koridor berhampiran.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah mendapatkan perkhidmatan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jasin sebelum membawa mangsa ke Hospital Jasin.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari, berkata mangsa ditemani guru pengiring sepanjang mendapat rawatan di hospital, selain sudah dimaklumkan kepada penjaganya.

"Di hospital, murid ini menjalani ujian sinar X (x-ray). Keadaannya stabil dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke rumah," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin menunggu maklum balas Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah untuk mengesan punca kejadian.

Berita Harian X