Jumaat, 26 Februari 2016 | 3:58pm

Nasib Muhyiddin ditentukan petang ini

TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Iqmal Haqim Rosman
TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Dalam beberapa jam lagi, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO bakal terjawab apabila Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dikatakan membincangkan isu berkenaan sebagai antara agenda mesyuarat bermula jam 4 petang ini.

Perkhabaran kencang bertiup menyebut, MT UMNO dijangka memutuskan sama ada keahlian Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh akan digantung atau berdepan pemecatan.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, akan membangkitkan isu berhubung kedudukan Muhyiddin dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berikutan kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang nombor dua parti.

Beberapa pemimpin UMNO lain turut menggesa pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin selepas didapati berterusan mengkritik kepemimpinan negara secara terbuka.

Fasal 9.8.2 Perlembagaan UMNO menyatakan, Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam menjalankan tugas-tugasnya, manakala Fasal 20.8 menyatakan setiap ahli antara lain perlu patuh dan menghormati keputusan parti dan menjaga nama baik dan maruah parti.

Sejak Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet pada 28 Julai tahun lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu berterusan mengkritik kepemimpinan Najib terutama berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma politik RM2.6 bilion serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Terbaharu, Muhyiddin dalam satu majlis di Port Dickson mencabar kepemimpinan tertinggi UMNO bertindak terhadapnya jika beliau melanggar mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan parti.

Muhyiddin turut mempertikaikan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali, tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

Sebelum ini, spekulasi mengenai kedudukan Muhyiddin turut menjadi fokus menjelang mesyuarat MT UMNO pada 24 November lalu namun beliau `terselamat' apabila hanya Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat atas kesalahan melanggar disiplin parti.

Berdasarkan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang melanggar peraturan disiplin parti boleh digantung keahlian atau dipecat selain diberi amaran serta dilarang bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti atau mewakili UMNO dalam pilihan raya.

Sementara itu, pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan, menjangkakan MT UMNO petang ini menggantung keahlian Muhyiddin kerana dalam keadaan status quo, tindakan orang nombor dua mengkritik Presiden adalah senario tidak sihat bagi sebuah parti politik.

Katanya, keputusan menggantung keahlian Muhyiddin dianggap paling sesuai dan minimum untuk mengelak perpecahan ahli.

"Tidak mungkin Muhyiddin dipecat kerana itu akan dinilai sebagai kejam. Bagaimanapun, sebaik-baiknya beliau melepaskan jawatan nombor dua dan bebas bergerak mengkritik sebagai ahli biasa seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Berita Harian X