Jumaat, 26 Februari 2016 | 5:21pm

19 Mei dengar rayuan pertukaran agama anak

INDIRA Gandhi memohon untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan, yang mengembalikan sijil penukaran agama ketiga-tiga anaknya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 19 Mei untuk mendengar permohonan oleh guru tadika M. Indira Gandhi bagi mendapatkan kebenaran untuk memfailkan rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam.

Perkara itu dibawa untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zaharah Ibrahim hari ini yang menetapkan tarikh perbicaraan.

Turut hadir pada prosiding pengurusan kes hari ini ialah peguam mewakili Indira Gandhi iaitu M. Kulasegaran dan Aston Paiva, peguam Hatim Musa mewakili bekas suami Indira Gandhi iaitu Muhammad Riduan Abdullah, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia dan juga penasihat undang-undang kerajaan negeri Perak Datuk Rohana Malik.

Dalam satu kenyataan media, Kulasegaran berkata mereka telah memaklumkan kepada mahkamah mereka ingin meminta hakim tertentu termasuk Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif untuk menarik diri daripada mendengar permohonan itu.

"Kami juga meminta panel hakim yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai agama seperti penduduk negara ini dan akhir sekali ia harus berdasarkan berbilang jantina," katanya.

Ibu berusia 40 tahun itu memohon untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan sijil penukaran agama ketiga-tiga anaknya.

Di bawah undang-undang, dia (ibu) perlu mendapat kebenaran dahulu daripada Mahkamah Persekutuan sebelum boleh meneruskan rayuannya ke mahkamah berkenaan.

Lapan persoalan undang-undang telah dirangka untuk Mahkamah Persekutuan pertimbangkan.

Mahkamah Tinggi Ipoh telah membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Indira Gandhi tetapi Mahkamah Rayuan kemudian mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lalu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan mengenai kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk memutuskannya.

Mahkamah berkenaan Mahkamah Rayuan) telah membenarkan rayuan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua pihak lain, Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan bapa kanak-kanak berkenaan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membatalkan sijil penukaran agama kanak-kanak itu.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka Riduan Abdullah (dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan) pada April 2009 tanpa keizinan Indira Gandhi selepas beliau memeluk Islam. Kanak-kanak tersebut ketika itu berusia 12 dan 11 tahun years, dan 11 bulan.

Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, dua perempuan dan seorang lelaki, sekarang berusia 18, 17 dan tujuh tahun.

Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh membatalkan perintah Mahkamah Syariah yang memberi hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Muhammad Riduan selepas memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah hak penjagaan apabila satu pihak (ibu) bukan beragama Islam.

Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman Indira Gandhi bagi mendapatkan perintah bahawa sijil penukaran agama kanak-kanak itu adalah tidak sah dan batal. - BERNAMA

Berita Harian X