Sabtu, 27 Februari 2016 | 12:00am

Nikmat nasi bujang, ringkas dan murah

NASI Bujang yang juga dikenali sebagai 'nasi bajet' - Foto Matzidi Dris
NASI Bujang yang juga dikenali sebagai 'nasi bajet' - Foto Matzidi Dris

PERNAH makan Nasi Bujang yang juga dikenali sebagai 'nasi bajet' dalam kalangan penduduk di negara ini?

Istilah nasi bujang ini selalunya dikaitkan dengan mereka yang baru bekerja atau ketika zaman belajar kerana pada waktu itu keadaan kewangan yang sangat terhad.

Hari ini Nasi Bujang pula berkait rapat dengan mereka yang mahu berjimat ketika hendak makan.

Sewaktu penulis bersama keluarga berkunjung ke Syafinnas House Of Tom Yam, di Batu 8 1/2 Jalan Gombak Lama, Selangor, terdengar tiga pelanggan berusia 20-an, yang baru ke kedai itu, memesan nasi bujang daripada pelayannya.

Anak penulis yang berusia 14 tahun, terus bertanya macam mana rupa nasi bujang, lalu memesan menu itu kerana tidak pernah mendengar nama makanan itu.

Penulis memanggil pelayan kedai makan yang menghidangkan nasi campur dan masakan panas itu untuk memintanya menjelaskan mengenai menu nasi bujang yang dijual di situ.

Pelayan yang berasal dari Indonesia berusia 20-an, meminta maaf dan kemudian mencadangkan untuk memanggil pemilik kedai berkenaan bagi memberi penjelasan.

Selang 40 saat, seorang wanita bertudung berusia 36 tahun datang ke meja penulis dan keluarga serta bertanya mahu memesan menu apa.

NASI bujang disesuaikan dengan perbelanjaan pelajar dan menu "mengelakkan perut masuk angin" dihidangkan bersama telur dadar, sup kosong, sambal belacan berserta dua keratan timun. - Foto Matzidi Dris
NASI bujang disesuaikan dengan perbelanjaan pelajar dan menu "mengelakkan perut masuk angin" dihidangkan bersama telur dadar, sup kosong, sambal belacan berserta dua keratan timun. - Foto Matzidi Dris

Turut sajikan pelbagai lauk

Beliau yang memperkenalkan sebagai Nikmah Ismail, berkata nasi bujang adalah makanan yang paling mudah dan murah.

Ia hanya terdiri daripada nasi putih, telur dadar berserta dengan sup kosong dan juga sambal belacan serta dua keratan timun.

Nikmah memberitahu sudah enam tahun beroperasi di Batu 8 1/2 Jalan Gombak Lama itu.

"Ada sesetengah pelanggan menganggap menu itu sebagai alternatif sekiranya kedai terbabit ketiadaan nasi lemak.

"Nasi bujang dikaitkan dengan gaya hidup orang bujang dan pelajar yang mahu berjimat cermat kerana tidak mempunyai banyak wang, terutama lelaki.

"Selalunya kami hanya mengenakan bayaran RM3 bagi satu hidangan. Sangat murah, memang sesuai dengan orang bujang," katanya.

Bagaimanapun, nasi bujang itu hanyalah sebahagian daripada menu yang disediakan oleh Syafinnas House of Tom Yam kerana restoran ini turut menawarkan pelbagai lauk pauk untuk pelanggannya.

"Cuma nasi bujang ini mendapat permintaan agak unik berbanding yang lain," katanya.

PELANGGAN menikmati roti canai kahwin dan nasi bujang di Syafinnas House of Tom Yam. - Foto Matzidi Dris
PELANGGAN menikmati roti canai kahwin dan nasi bujang di Syafinnas House of Tom Yam. - Foto Matzidi Dris

Set roti kahwin

Kebanyakan pelanggan Syafinnas House of Tom Yam daripada pelajar British Malaysian Institute (BMI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tinggal di asrama tidak jauh dari kafe itu.

Ada kalangan pelajar terbabit yang memesan sehingga dua pinggan seorang biarpun pada jam sudah jam 3 pagi.

"Biarpun bagi kebanyakan orang nasi bujang adalah pilihan terakhir, namun sebagai pemilik kedai saya melihat hidangan itu dapat membantu beberapa pelajar yang mahu berjimat cermat dan tidak mempunyai wang, ketika melanjutkan pelajaran," kata Nikmah.

Satu lagi menu menarik yang terdapat di situ ialah roti canai kahwin iaitu sekeping roti kosong dan satu lagi roti bertelur yang berharga RM3 satu set.

Katanya, menu itu menjadi pilihan ketika pelanggan tetapnya minum pagi.

Bagaimanapun, Dari pemerhatian penulis, nasi bujang ini bukan untuk pelajar sahaja tetapi juga untuk mereka yang memang hendak berjimat atau mungkin disebabkan mempunyai kewangan terhad.

Berita Harian X