Sabtu, 27 Februari 2016 | 12:09am

Jangan ambil mudah sakit kepala

KESAKITAN mungkin berpunca daripada sinusitis, neuralgia dan kotoran telinga tersumbat.
KESAKITAN mungkin berpunca daripada sinusitis, neuralgia dan kotoran telinga tersumbat.

SITUASI: Sara sering mengalami sakit kepala hampir setiap minggu. Dia beranggapan serangan mungkin disebabkan tidak cukup tidur kerana dia perlu mengasuh dua orang kanak-kanak yang sedang membesar.

Sara sering membuat carian di internet dan dia mendapati ada kajian yang menyatakan terdapat kecenderungan yang Iebih tinggi dalam kalangan pengasuh untuk mengalami sakit kepala migrain dan ketegangan.

Kebiasaannya Sara akan menahan saja sakit kepala yang dialaminya dan jika masih tidak surut, dia akan tidur sebentar ataupun mengambil ubat untuk melegakan sakit kepala yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor.

Tanpa disedari, dengan terus menahan kesakitan yang dialami, ia sebenarnya memberi kesan negatif ke atas keadaan emosi dan psikologi Sara.

Beliau sering berasa rendah harga diri, kemurungan, kekecewaan dan mengalami perubahan emosi yang serius. Ia iuga memberi kesan kepada mereka yang berada di sekelilingnya kerana dia akan kelihatan murung dan kurang sabar.

Kebergantungan yang berlebihan kepada ubat penghilang kesakitan akan memberi kesan jangka panjang yang tidak diingini.

Situasi di atas adalah kisah benar dan ia mungkin sedang berlaku ke atas ramai lagi individu lain di luar sana.

Amalan memakan ubat tanpa preskripsi doktor bagi melegakan sakit kepala bukanlah sesuatu yang baru kita dengar.

Bagi menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini, BH Sihat mendapatkan Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher di Hospital Manipal Klang, Dr Muthu Kumar Murugesan.

85 peratus rakyat sakit kepala

Menurut Dr Muthu, berdasarkan kajian GlaxoSmithKline Consumer Healthcare berhubung Kaji Selidik Pengurusan Kesakitan pada tahun 2014, ia mendapati sakit kepala adalah jenis kesakitan paling biasa dialami 85 peratus rakyat Malaysia.

"Tambah mengejutkan, kajian yang dijalankan selama enam bulan itu turut mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia memilih untuk menahan sakit daripada mendapat rawatan segera.

"Ini menunjukkan terdapat segolongan besar rakyat Malaysia yang menahan kesakitan dengan sia-sia.

"Sebab sakit kepala biasanya dikaitkan dengan gangguan neurologikal seperti tidak cukup tidur atau tekanan kerja, tetapi tanpa disangka bilangan kes sakit kepala yang tinggi berpunca daripada telinga, hidung dan tekak," katanya, baru-baru ini

Penyebab sakit kepala

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Muthu berkata, beliau memfokuskan mengenai tiga penyebab utama sakit kepada yang selalu melanda rakyat negara ini iaitu masalah sinusitis, neuralgia dan kotoran telinga tersumbat.

Bagi masalah sinusitis, beliau berkata, sinus adalah ruang yang terdiri daripada tulang yang berisi udara dan berada di dalam tengkorak dan muka kita.

"Tiada siapa tahu sebab sebenar kita mempunyai sinus, tetapi pelbagai teori dibuat termasuk satu teori yang menyatakan bahawa sinus adalah untuk meringankan kepala kita.

"Sinusitis terjadi apabila ruang berisi udara terkesan dengan lendir yang biasanya terjadi apabila kita mengalami selsema yang berpanjangan atau infeksi trakus pernafasan atas.

"Mereka yang mengalaminya akan berasa seperti kepala berat dan tidak selesa. Sering kali, pesakit tersalah anggap gejala ini sebagai migrain. Ada masanya, kesakitan daripada sinusitis boleh menjadi begitu parah sehingga ia bukan saja dalam lingkungan muka tetapi bercabang ke seluruh kepala," katanya.

Pelan rawatan sinusitis

Dr Muthu berkata, sebelum memulakan rawatan, doktor perlu mengesahkan diagnosis bagi sinusitis terlebih dulu. Ia dilakukan menerusi imbasan CT pada sinus.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit yang merungut tentang sakit kepala biasanya akan dinasihatkan supaya melakukan imbasan CT atau MRI pada otak. Setelah diagnosis disahkan, rawatan boleh dijalankan sama ada rawatan konservatif atau surgikal, bergantung kepada keadaan penyakit.

Rawatan konservatif katanya, termasuk antibiotik dan semburan nasal. Pembedahan pula akan membabitkan prosedur meluaskan bukaan yang sedia ada untuk memasuki sinus dan menyalirkan lendir dari sinus serta mengalih udara kaviti ini.

"Terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan untuk meluaskan bukaan ini. Buat masa ini kaedah yang paling kurang invasif saya gunakan ke atas pesakit ialah sinoplasti belon.

"Kaedah ini serupa dengan angioplasti yang mana kami menggunakan belon dengan bantuan endoskopi untuk melakukan bukaan dan membantu menyalirkan serta mengalih udara sinus.

"Kelebihan kaedah ini ialah ia tidak membabitkan "belahan" surgikal dan pesakit boleh dibenarkan keluar pada hari yang sama atau hari selepas prosedur dilakukan," katanya.

Neuralgia Sludder

Dr Muthu berkata, faktor lain menyebabkan sakit kepala ialah neuralgia sludder.

Ia adalah sejenis kesakitan saraf dan kali pertama dikesan pada tahun 1908. Beliau berkata, neuralgia sludder adalah kesakitan yang biasanya dirasai pada satu bahagian kepala dan muka.

"Ini berlaku apabila septum hidung yang sepatutnya lurus, tetapi membengkok ke sebelah hidung. Bahagian septum bengkok yang tajam mengenai bahagian dalam hidung dan ini menyebabkan mampatan saraf yang kemudiannya mencetuskan kesakitan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, beliau berkata, terdapat titik anatomi di dalam hidung yang mana saraf dimampatkan di antara dua struktur.

"Penyebaran kesakitan pada muka dan kepala bergantung pada saraf yang tertentu, yang telah dimampatkan," katanya.

Tambahnya lagi, rawatan yang boleh dilakukan termasuklah endoskopi dan imbasan CT.

"Selain itu, rawatan lain yang boleh dijalankan termasuklah mengurangkan sentuhan antara keduadua struktur dan mencegah pemampatan saraf.

"Kadangkala pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan untuk meluruskan septum yang bersimpang itu," katanya.

Kotoran telinga tersumbat

Selain dua penyebab sakit kepala yang dinyatakan terdahulu, penyebab lain adalah kotoran telinga (tahi telinga) tersumbat.

Dr Muthu berkata, kotoran telinga dikeluarkan oleh kelenjar di dalam kanal telinga.

"Tidak ada sebab yang tepat kenapa kotoran telinga dengan ciri melekit dan berwarna kekuningan dirembeskan tetapi ada dakwaan menyatakan ia untuk melindungi gegendang telinga daripada habuk dan partikel halus.

"Bagi kebanyakan orang, kotoran telinga keluar dengan sendirinya. Bagaimanapun dalam sesetengah kes, kotoran boleh tersumbat dengan padat dalam kanal.

"Ia kemudiannya akan termampat di atas gegendang telinga dan menyebabkan kesakitan yang menjengkelkan, yang bukan sahaja terhad kepada telinga tetapi cenderung untuk bercabang ke seluruh kepala.

"Rawatan untuk membuangkan kotoran adalah pertamanya dengan menggunakan pelembut dan keduanya, ia dibuang menerusi proses penyedutan yang dilakukan oleh pakar bedah ENT," katanya.

Dapatkan diagnosis awal

Beliau turut menitipkan pesan kepada pesakit yang berhadapan dengan masalah sakit kepala untuk tempoh yang lama supaya segera berunding dengan pakar ENT.

"Jika sakit semakin berpanjangan dan migrain tidak juga pulih setelah menggunakan ubat menghilangkan kesakitan, segera dapatkan penyelesaiannya.

"Jangan lalui hidup dengan mengalami kesakitan kerana ia akan membebankan mutu kehidupan pesakit.

"Lebih awal anda mendapat diagnosis, adalah lebih baik untuk kesejahteraan peribadi anda serta bagi mereka yang di sekeliling anda," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X