Sabtu, 27 Februari 2016 | 12:52pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan salah seorang penghuni, Nor Azizi Ashari 51, sambil diperhatikan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pembantu Perubatan Bulan Sabit Merah Malaysia, Muhammad Saiful Kamaruzaman 26, ketika melawat sempena Majlis Perasmian Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

PM rasmi Pusat Transit Gelandangan KL


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan replika kunci kepada Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sambil diperhatikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Majlis Perasmian Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi merasmikan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang di sini.

Pusat itu adalah hasil inisiatif tanggungjawab sosial Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Pembinaan pusat itu susulan tinjauan Najib terhadap keadaan gelandangan di ibu kota pada Julai 2014.

Pusat itu dibina oleh MRCB di atas tapak seluas 1,319 meter milik DBKL dengan kos RM3 juta.

Bangunan tiga tingkat itu mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan yang mampu menampung 250 orang, bilik mandi, tandas, dobi, surau, bilik kaunseling, bilik kesihatan dan tempat simpanan barang.

Pada majlis itu, Sharp Malaysia menyumbang barangan elektrik bernilai RM45,000 untuk kegunaan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Takaya Wakasumi.

Sebelum ini, kerajaan mewujudkan Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail di sini, yang hanya menyediakan kemudahan tandas dan bilik air, bilik solat serta tempat untuk pengedaran makanan percuma kepada golongan itu.

Kaedah pengurusan pusat transit itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama adalah untuk tempoh lima bulan pertama bermula bulan ini hingga Jun yang dikendalikan pasukan sementara secara pinjaman daripada YKN, DBKL, RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah dan kaunselor.

dibaca
Berita Harian X