Sabtu, 27 Februari 2016 | 2:45pm

Larangan guna 'ayat ruqyah, 'makanan sunnah' bagi iklan produk

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha (tengah). - Foto Supian Ahmad
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha (tengah). - Foto Supian Ahmad

PUTRAJAYA: Syarikat dan pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak dibenarkan menggunakan terma 'ayat ruqyah', 'makanan sunnah' dan seumpamanya pada pelabelan, pengiklanan dan promosi produk yang dipohon bagi pengesahan halal.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata produk yang dilabelkan dengan terma itu sering digunakan sesetengah pengusaha sebagai pelan pemasaran, namun ia dikhuatiri boleh mengundang penipuan ke atas pengguna yang percaya produk itu lebih berkesan.

Katanya, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada November tahun lalu memutuskan bahawa penggunaan ayat ruqyah pada sesuatu produk bagi tujuan komersial tidak dibenarkan pada pelabelan, pengiklanan atau promosi.

"Produk berasaskan 'makanan sunnah' atau makanan serta minuman yang dibacakan ayat al-Quran atau diruqyahkan sering disebut sebagai makanan terbaik.

"Selain itu, ada produk yang menggunakan air zam zam sebagai ramuan campuran, namun kuantitinya amat sedikit dan kemudian dinyatakan sebagai ramuan pada label produk itu.

"Tindakan ini berkemungkinan besar menyebabkan berlaku penipuan kepada orang ramai yang menganggap produk itu lebih berkat dan berkesan kerana dibacakan ayat al-Quran dan zikir serta doa tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Othman berkata, pekeliling mengenai peraturan itu sudah dikuatkuasakan pada 15 Februari lalu mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Justeru, semua syarikat dan pemohon pensijilan halal Malaysia perlu mematuhi dan mengambil maklum mengenai pelaksanaan pekeliling ini," katanya.

Berita Harian X