Sabtu, 27 Februari 2016 | 3:28pm

Amy Search mahu bakat Nabila diiktiraf

AMY Search .

KUALA LUMPUR : Sebagai bapa, penyanyi legenda rock, Amy Search bangga dengan pencapaian anak sulungnya, Nabila Huda yang sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam setiap produksi yang dijayakannya.

Ketika diminta mengulas mengenai lakonan Nabila sebagai Maria dalam filem terbaharunya, Munafik arahan Shamsul Yusof, Amy mengakui anaknya itu memiliki bakat yang mengagumkan.

Amy yang berkesempatan menonton filem itu, baru-baru ini turut terharu apabila ramai memberikan kata pujian terhadap lakonan Nabila.

"Saya sebenarnya kurang gemar menonton filem bergenre seram namun kerana ingin memberikan sokongan kepada Abil, saya gagahkan juga ke pawagam

"Sebagai bapa, saya berbangga dengan mutu lakonan Abil yang semakin baik. Saya ingin melihat dia membawa pelbagai watak yang dapat menonjolkan lagi bakatnya sebagai pelakon. Saya lihat lakonannya dalam Munafik menjadi dan menerima pujian ramai.

"Saya ingin sekali melihat Abil diiktiraf lagi pada majlis anugerah atas usaha kerasnya selama ini. Saya tahu dia mempunyai bakat yang hebat dan mampu menzahirkan setiap karakter dengan berkesan," kata Amy.

Amy ditemui pada majlis resepsi pasangan penyanyi popular, Akim Ahmad, 25, dan Stacy Anam, 26, di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, malam tadi. Penampilan legenda rock itu menggamatkan seluruh dewan, malah Amy turut berkesempatan menghiburkan tetamu menerusi lagu popularnya, Isabella.

Amy hadir sebagai memenuhi undangan bekas rakan sekelasnya yang juga ayah pengantin lelaki, Ahmad Suleiman.

"Saya hadir ke majlis perkahwinan Akim atas undangan bekas rakan sekelas. Saya dan bapa Akim bukan saja sekelas, malah pernah duduk bersebelahan. Biarpun sudah lama meninggalkan zaman persekolahan namun hubungan kami tidak pernah putus.

"Saya dan bapa Akim juga pernah bekerja di syarikat sama sekitar tahun 1978. Apabila menerima undangan ke majlis resepsi anaknya, saya berusaha untuk kosongkan jadual kerana mahu bersama-sama pada hari bersejarah Akim dan Stacy ini," katanya kepada BH Online.

Berita Harian X