Ahad, 28 Februari 2016 | 7:31am
GAMBAR hiasan.

Operasi mencari lelaki disambar buaya diteruskan


ADI Enchana, dikhuatiri disambar buaya di Sungai Maing, Ulu Kakus di Tatau, Bintulu.

TATAU: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri disambar buaya di jeti sebuah rumah sarang burung di Sungai Maing, Ulu Kakus, pagi kelmarin, diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Azrel Izaidi Ahamad, berkata pihaknya bersama anggota polis, penduduk kampung serta pekerja rumah burung akan meneruskan pencarian sepanjang sungai berkenaan.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan semalam dihentikan pada jam 7 petang berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

"Hari ini, kami akan sekali lagi menyusuri sungai berkenaan serta beberapa anak sungai berdekatan,' katanya.

Mangsa, Adi Enchana, 44, yang bekerja di rumah sarang burung didapati hilang selepas pergi ke jeti pada jam 6 pagi kelmarin.

Dia disyaki disambar buaya berikutan penemuan kesan cakaran kuku reptilia ganas itu berdekatan selipar mangsa yang ditemui di jeti berkenaan.

87 dibaca
Berita Harian X