Ahad, 28 Februari 2016 | 3:16pm

Bintang Ola Bola jadi buruan produser drama, filem

NAMA Luqman menjadi sebutan peminat selepas muncul dalam Ola Bola. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Hanya bersandarkan sebuah filem, Ola Bola, kehidupan pelakon baharu, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, kini berubah 180 darjah.

Kehadiran pemuda ini di arena seni, sejak tahun lalu, mula mencuri perhatian selepas membawakan watak pemain bola sepak bernama Ali dalam filem arahan Chiu Keng Guan berkenaan.

Filem mengenai dunia bola sepak yang sarat dengan unsur patriotisme itu kini mencipta fenomena tersendiri apabila sudah pun memungut lebih RM14.5 juta selepas kira-kira sebulan ditayangkan.

Bagi jejaka berusia 25 tahun berasal dari Ampang itu, beliau sendiri tidak menduga dengan perubahan yang dialami. Kini, katanya, beliau sedaya upaya cuba membiasakan diri dengan suasana sedikit berbeza itu.

Terbaharu, Luqman dilamar oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd bagi membintangi drama Mr Tanda Soal, bergandingan dengan Johan As'ari dan Hanna Aqeela.

"Saya sangat bersyukur dan gembira kerana mula diterima baik biarpun baru berlakon dalam sebuah filem. Saya banyak menerima komen dan maklum balas positif di laman sosial seperti Twitter dan Instagram. Alhamdulillah, selepas Mr Tanda Soal, saya ada menerima beberapa lagi tawaran berlakon drama dan filem, tetapi belum ada pengesahan rasmi mengenai perkara itu," katanya.

Dalam drama terbitan syarikat milik Datuk Rosyam Nor berkenaan, beliau membawakan watak Zamir yang berebut cinta seorang wanita dengan Amran, lakonan Johan.

Menurut Luqman, sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai juruukur bahan, selama empat bulan. Kini, anak sulung daripada empat beradik ini yang turut berkebolehan bermain bola sepak memilih untuk memberikan tumpuan terhadap dunia seni.

"Saya suka mencuba benda baharu termasuklah dunia lakonan. Bagaimanapun, untuk tempoh jangka masa panjang, saya belum merancang sama ada mahu terus kekal berlakon atau sebaliknya.

"Saat ini, saya belum nampak gambaran jelas mengenai dunia seni. Cuma, saya nampak faktor populariti itu cukup penting untuk nama dikenali," kata graduan dari Universiti Islam Antarabangsa, Gombak itu.

Berita Harian X