Ahad, 28 Februari 2016 | 5:51pm
ANGGOTA kumpulan Bunkface, Youk.
ANGGOTA kumpulan Bunkface, Youk.

Youk anggota Bunkface terakhir bergelar suami

PENGANTIN bersama dua anggota bunkface, Sam dan Paan.
PENGANTIN bersama dua anggota bunkface, Sam dan Paan.

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Bunkface, Youk atau nama sebenarnya, Mohd Farouk Jaafar, 27, melangsungkan pernikahan dengan Nor Aliaa Rosli, 26, di kediaman pengantin perempuan di Sungai Buloh, semalam.

Youk adalah anggota terakhir kumpulan yang dikenali dengan lagu Darah Muda itu menamatkan zaman bujang.

Januari lalu, pemain gitar utamanya, Ahmad Farhan Hashim atau Paan berkahwin dengan Nurul Aqilan Azlan. Vokalis, Shamsul Annuar Mohd Baharom (Sam), menjadi anggota pertama kumpulan itu yang menaiki pelamin, dengan Aida Azira Husin, pada April 2015.

Youk dan Aliaa dinikahkan jam 10 pagi semalam, iaitu pada hari sama perkahwinan Yatt Hamzah dan bekas penyampai radio Hot FM, Liza.

Youk yang dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan menyerahkan wang hantaran RM10,000 dan mas kahwin RM1,000 kepada Aliaa.

"Alhamdulillah, lega rasanya kerana semuanya selesai. Sekarang tanggungjawab saya semakin besar, justeru saya kena lebih fokus dalam kerjaya.

"Dulu, hidup sebagai orang bujang tetapi sekarang suasana berbeza... saya juga kena fikirkan mengenai isteri. Apa pun. matlamat untuk membina keluarga sudah dicapai. Insya-Allah," kata Youk sambil memberitahu akan berbulan madu di Bali, Indonesia, pada pertengahan bulan depan.

Kata Youk, dia mengenali isterinya, yang baru saja menamatkan pengajian di sebuah universiti dalam bidang perakaunan, sejak tujuh tahun lalu.

"Insya-Allah pada 5 Mac depan, majlis sebelah pengantin perempuan akan diadakan di ibu kota, diikuti majlis sebelah saya di Klang, Selangor," katanya.

Berita Harian X