Ahad, 28 Februari 2016 | 8:40pm

Teater Ombak Rindu masih mencari Izzah


KETUA Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan pelakon teater Ombak Rindu pada sidang media di Istana Budaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Ombak Rindu yang pernah meledak di pawagam pada penghujung 2011 akan dipentaskan pula dalam versi teater di Istana Budaya (IB), mulai 22 April hingga 1 Mei depan.

Diterbitkan oleh CTRA Production, karya popular hasil tulisan Fauziah Ashari itu bagaimanapun berbeza dengan versi filem arahan Osman Ali, lakonan Maya Karin dan Aaron Aziz.

Penerbitnya, Siti Rohaya Attan, berkata bagi persembahan pentas, mereka akan menggabungkan ketiga-tiga novel daripada siri berkenaan dalam sebuah cerita.

"Begitu juga dengan watak Izzah yang kali ini sangat berat berbanding filem. Teater ini akan menggunakan dua watak Izzah yang berbeza, seperti tertulis di dalam novel berkenaan apabila seorang lagi muncul dengan menggunakan nama Suri," katanya pada sidang media mengumumkan persembahan terbabit di Istana Budaya, baru-baru ini.

Begitupun, buat ketika ini Rohaya belum mampu mengumumkan nama pelakon wanita yang akan memegang watak utamanya walaupun tarikh pementasan hanya tinggal beberapa minggu lagi.


WATAK Hariz dalam versi teater Ombak Rindu akan dilakonkan oleh Keith Foo. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Beliau berkata, pelakon yang dibayangkan memegang watak berkenaan sudah mempunyai komitmen lain, manakala beberapa artis lain yang berminat pula tidak memenuhi kriteria.

"Meskipun saya dihubungi beberapa pelakon yang berminat untuk membawakan watak Izzah, saya terpaksa menolaknya kerana saya memerlukan pelakon yang tidak memakai tudung. Sebelum berlaku apa-apa perkara yang menyentuh sensitiviti, lebih baik saya menjelaskan kepada mereka kenapa saya berbuat demikian.

"Sebelum ini, saya cuba mendapatkan Maya, namun beliau hanya bersetuju untuk berlakon teater ini jika pelakon lelakinya ialah Aaron, yang sudah serasi dengannya ketika menjayakan filem Ombak Rindu.

"Agak malang kerana Aaron menolak undangan kami apabila beliau sendiri belum bersedia untuk membawa watak Hariz semula," katanya.

Watak Hariz dalam versi teater terbabit akan dilakonkan oleh Keith Foo.

Antara pelakon lain yang terbabit dalam teater hasil skrip tulisan Rosminah Mohd Tahir itu ialah Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam, Zaidi Omar, Aris Lufias dan Ameer (Forteen).

Berita Harian X