Isnin, 29 Februari 2016 | 7:03pm

MAHB tambah tempat letak pesawat di KKIA

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bercadang menambah 10 lagi tempat letak pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). 

Usaha menambah tempat letak pesawat itu yang dijangka bermula pembinaannya pada akhir tahun ini adalah bagi memenuhi keperluan pesawat bermalam di KKIA, sebelum meneruskan penerbangan ke destinasi lain keesokan harinya.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata kos bagi penambahan tempat letak pesawat itu dianggarkan antara RM60 juta dan RM80 juta.

"Bilangan tempat letak pesawat di KKIA sebenarnya cukup, malah lebih termasuk jika ada pesawat tambahan. Ini lazimnya hanya 13 daripada 22 tempat letak pesawat digunakan pada satu masa di KKIA, termasuk waktu puncak.

"Namun, langkah penambahan ini adalah untuk membolehkan pesawat bermalam," katanya selepas mengadakan lawatan ke KKIA, di sini, sebentar tadi. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, syarikat penerbangan dari Taiwan iaitu Tiger Air akan memulakan penerbangan terus ke Kota Kinabalu, bermula 18 Mac ini.

"Ia dilihat mampu mengembangkan lagi industri pelancongan di Sabah, sekali gus menarik lebih ramai pelancong. Disebabkan itu, kita perlu memberi kemudahan terbaik di KKIA," katanya sambil menambah MAHB mahu meningkatkan kapasiti penumpang daripada sembilan juta kepada 16 juta di KKIA dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berita Harian X