Selasa, 1 March 2016 | 1:26pm

Kegawatan ekonomi tidak jejas perancangan Tentera Darat

PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bersalaman dengan anggota Tentera Darat ketika menghadiri perbarisan dan menyampaikan perutusan sempena Hari Tentera Darat ke-83 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, hari ini. - Foto BERNAMA

PORT DICKSON: Pembangunan Tentera Darat diteruskan mengikut perancangan walaupun ekonomi negara menerima kesan susulan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata Tentera Darat tidak terkecuali dipengaruhi oleh keadaan itu, namun kerajaan masih memberi ruang untuk meneruskan perancangan dibuat.

Katanya, ia termasuk komitmen kerajaan terhadap Projek Gempita, iaitu kenderaan perisai AV 8X8 dan kenderaan perisai 4X4 serta pemerolehan aset lain, sekali gus menunjukkan kerajaan terus menggembleng usaha ke arah kesiagaan Tentera Darat.

"Begitu juga pemerolehan aset strategik seperti helikopter penggempur ringan, melengkapkan sistem persenjataan helikopter Augusta LOH A109 dan memperkukuhkan aspek kuasa tembakan beberapa aset lain yang semakin menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perbarisan dan menyampaikan perutusan sempena Hari Tentera Darat ke-83 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata, pemerolehan aset berkenaan dapat memberi lonjakan besar terhadap keupayaan tempur Tentera Darat.

Selain itu, katanya, Tentera Darat bekerja rapat dengan industri pertahanan tempatan yang berkapasiti tinggi untuk membangunkan aset pertahanan darat melalui kerjasama kreatif dan inovatif.

gn4id:12272661

HELIKOPTER Pasukan Udara Tentera Darat melakukan lintas hormat sempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-83 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Berita Harian X