Selasa, 1 March 2016 | 4:34pm

3 bot Amphibious Sealegs untuk operasi banjir

PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim (kiri) bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim (dua dari kiri) melihat bot Amphibious Sealegs selepas majlis penyerahan tiga buah bot itu di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

TUMPAT: Tiga bot Amphibious Sealegs bernilai RM2.4 juta diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Penyerahan dibuat oleh Pengarahnya, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, hari ini.

Muhammad Fuad berkata, aset itu akan digunakan dalam operasi menyelamat dan menghantar bekalan kepada mangsa sekiranya berlaku banjir.

"Keperluan ini penting apabila berlaku banjir kerana kenderaan ini boleh digunakan di darat dan laut.

"Bot ini akan memudahkan penugasan anggota PPM, sekali gus meningkatkan perkhidmatan masing-masing," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kemudahan bernilai RM800,000 seunit buatan New Zealand itu mempunyai panjang keseluruhan 7.13 meter dan berupaya memuatkan lapan penumpang pada satu masa.

Di air, kelajuannya boleh mencecah 40 knots manakala di darat boleh bergerak sejauh 10 hingga 15 kilometer sejam.

Muhammad Fuad berkata, pihaknya akan memperoleh aset baharu termasuk jet ski untuk kegunaan sama dalam masa terdekat.

Berita Harian X