Selasa, 1 March 2016 | 7:00pm

Aktiviti pembuatan China menguncup paling pantas

AKTIVITI pembuatan di China menguncup pada kadar terpantas dalam tempoh empat tahun pada bulan lalu, menurut data kerajaan semalam, petanda baharu yang menunjukkan kelemahan yang berterusan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia. - Foto Reuters

BEIJING: Aktiviti pembuatan di China menguncup pada kadar terpantas dalam tempoh empat tahun pada bulan lalu, menurut data kerajaan semalam, petanda baharu yang menunjukkan kelemahan yang berterusan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang menjejaki aktiviti di kilang dan bengkel, jatuh kepada 49.0 bulan lalu, demikian menurut angka dari Biro Perangkaan Negara (NBS).

Ia adalah angka terendah sejak 49.0 yang dicatat pada bulan November 2011, dan di bawah ramalan median 49.4 dalam kaji selidik ahli ekonomi Bloomberg.

Bacaan di atas 50 menandakan pengembangan aktiviti dalam sektor yang penting itu, manakala sebarang bacaan di bawah daripada itu menunjukkan penguncupan.

Pelabur meneliti indeks dengan rapi sebagai petunjuk rasmi yang pertama untuk menentukan tahap ekonomi negara setiap bulan.

Ia adalah bulan ketujuh berturut-turut indeks rasmi itu menguncup, yang menurut Bloomberg News adalah siri rentetan paling lama pernah dicatatkan.

Angka itu hadir hanya beberapa jam selepas bank pusat negara itu, Bank of China mengurangkan jumlah keperluan pegangan rizab bank dalam usaha terbaharunya untuk menangani pertumbuhan perlahan.

Ia mengurangkan apa yang dipanggil nisbah keperluan rizab bagi institusi kewangan dengan 0.50 mata peratusan, membebaskan lebih banyak dana bagi mereka untuk memberi pinjaman.

Ekonomi China, pemacu penting pengembangan global, berkembang 6.9 peratus tahun lalu, kadarnya yang paling lemah dalam suku abad.

Pemimpin China, yang menyasarkan pertumbuhan "kira-kira tujuh peratus" sedang berusaha untuk mengubah ekonomi dari pelaburan dan eksport pada masa lalu kepada yang lebih tertumpu kepada penggunaan domestik.

Namun, peralihan itu terbukti sukar dan kelembapan pertumbuhan mencemaskan pelabur di seluruh dunia.

Angka NBS hari ini menunjukkan permintaan pasaran terus jatuh pada Februari disebabkan sub-indeks pesanan baharu susut kepada 48.6 daripada 49.5 pada Januari, manakala petunjuk pekerjaan bertambah buruk dengan jatuh sebanyak 0.2 mata kepada 47.6. - AFP

Berita Harian X