Rabu, 2 March 2016 | 12:01am
PENONTON akan dikejutkan dengan pengakhiran filem yang tidak pernah disangka-sangka.
MUNAFIK paparkan sifat sebenar manusia yang sanggup menjadikan agama sebagai topeng penuh kepura-puraan.
ANTARA babak ngeri dalam Munafik.
MUNAFIK papar jalan cerita berlapis-lapis, sehingga berjaya mengelirukan penonton.
FIZZ FAIRUZ turut menampilkan lakonan mantap dalam filem Munafik lakonan Fizz Fairuz.
BABAK jelmaan jin Islam yang merasuk tubuh pelakon.
BABAK yang berjaya meremangkan bulu roma penonton.
MUNAFIK dihasilkan Syamsul dengan idea yang dianggap lari daripada kebiasaan ini menyuntik pendekatan keagamaan.
ANTARA babak filem Munafik lakonan A Galak.
MUNAFIK adalah filem ke-39 terbitan Skop Productions Sdn Bhd (SPSB).
PENGARAH berbakat, Syamsul Yusof.

Sentuhan ajaib Syamsul

MUNAFIK hasil sentuhan pengarah berbakat, Syamsul Yusof, nyata tampil berbeza daripada judul seram pernah dihasilkan di negara ini. Bukan sekadar sebuah persembahan yang sarat dengan elemen menakutkan, sebaliknya ia juga naskhah yang bijak memperdaya penonton.

Lebih bermakna, karya dihasilkan dengan idea yang dianggap lari daripada kebiasaan ini menyuntik pendekatan keagamaan, yang menjadikannya filem cukup bererti.

Ia bukan filem hantu seperti pernah digembar-gemburkan hanya kerana wujudnya unsur makhluk halus di dalamnya bagi menguatkan penceritaan, garapan Syamsul kali ini, yang menggunakan perkataan bermaksud seorang yang berpura-pura beriman kepada Tuhan sebagai judul, lebih bercorak cereka kerohanian.

Ia kuat membidas golongan alim secara umumnya, yang bertopengkan Islam dengan niat memperdayakan golongan sesama agama. Secara tidak langsung, Munafik mengajak penonton mencari erti kebesaran Tuhan Yang Maha Pengasih.


NABILA Huda sebagai tonggak utama Munafik.

SYAMSUL yang membawa watak seorang imam muda menjadi harapan masyarakat kampung dengan ilmu agama dimilikinya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, karya kedua Syamsul dalam genre seram boleh dilihat sebagai penanda aras kepada pembikinan filem berkonsep serupa.

Dari sudut pembikinannya, filem yang menampilkan dirinya sendiri dan Nabila Huda sebagai tonggak utama memiliki jalan cerita berlapis-lapis, sehingga berjaya mengelirukan penonton.

Paparan babak realiti dan khayalan yang bersilang menjadikan penonton sentiasa berteka-teki dalam usaha meneka siapakah sebenarnya yang baik dan jahat dalam filem ke-39 terbitan Skop Productions Sdn Bhd (SPSB) ini.

Selain bertanggungjawab sebagai pengarah dan penulis skripnya, Syamsul yang membawa watak seorang imam muda bernama Adam digambarkan sebagai ulama yang memiliki sifat ragu-ragu, namun tetap menjadi harapan masyarakat kampung dengan ilmu agama dimilikinya.


GAMBARAN iblis yang mengerikan.

Mendapat kelulusan penuh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Munafik memaparkan sifat sebenar manusia yang mudah lupa apabila dikurniakan sesuatu yang istimewa oleh Yang Maha Kuasa, malah sanggup menjadikan agama sebagai topeng penuh kepura-puraan.

Filem yang dikira rumit dari segi jalan ceritanya ini turut menyaksikan pertarungan antara manusia dan iblis menerusi perdebatan yang menggunakan kalimah suci. Babak yang cukup kuat itu berjaya meremangkan bulu roma penonton.

Apatah lagi gambaran iblis yang mengerikan dan jelmaan jin Islam yang merasuk tubuh pelakon dengan mengalunkan ayat suci cukup untuk membuatkan penonton keresahan di tempat duduk.

"Karya Munafik sangat bersifat peribadi. Apa saja persoalan yang bermain di fikiran, saya terjemahkan ke dalam filem ini. Walaupun ia dianggap sebagai karya yang berat, namun sekiranya penonton dapat menjiwai setiap dialog dan jalan ceritanya, saya pasti mereka akan memahami apa yang ingin saya sampaikan.


ANTARA babak mencemaskan dalam Munafik.

"Tidak dinafikan apabila kita menyentuh mengenai agama di dalam sesuatu karya, ia akan dilihat sensitif bagi sesetengah pandangan. Bagaimanapun, sekiranya ia digarap dengan pandangan alim ulama bersama hadis dan ayat al-Quran serta menyentuh hati penonton, insya-Allah ia mampu menjadi karya yang baik.

"Saya turut bersyukur apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) bersama JAKIM tidak memotong semua petikan ayat al-Quran yang saya dan pelakon lain baca dalam filem ini," katanya yang mengakui naskhah berkenaan mempunyai keseimbangan antara unsur seram dan drama.

Selain Syamsul dan Nabila, filem yang menemui penonton di 112 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura, bermula pada 25 Februari lalu turut diperkuatkan Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, Datuk Rahim Razali dan A Galak.

Dari sisi teknikal, ia juga sebuah filem yang memuaskan hati apabila permainan kamera dari pelbagai sudut memberikan kepelbagaian perspektif. Setiap babak pula sentiasa diisi dengan kesan bunyi yang padat, sehingga ia mampu melahirkan rasa dan jiwa kepada adegan dipapar di layar lebar.


DATUK Rahim Razali antara pelakon yang memperkuatkan filem Munafik.

Keupayaan Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 itu menjadikan karyanya kali ini lebih rumit untuk diteka perjalanan ceritanya memang harus dipuji. Ia antara faktor membuatkan khalayak khusyuk menunggu penyudah yang membongkar segala persoalan yang diketengahkan sepanjang tayangan berlangsung.

Meskipun sebelum babak terakhir ada penonton yang boleh menghidu jalan cerita sebenar, namun sesiapa saja akan dikejutkan dengan pengakhiran yang tidak pernah disangka-sangka. Syamsul seharusnya terus bermain dengan helah sebegini bagi mencipta identiti tersendiri.

Munafik di tangannya nyata sebuah lagi karya yang cukup baik, seterusnya dijadikan antara filem yang harus ditonton.

Sinopsis:

Adam lakonan Syamsul dikenali sebagai seorang ustaz yang dikurniakan 'kelebihan'. Setiap pesakit yang mengalami 'gangguan' sering berjaya diubati olehnya mengikut cara perubatan Islam.

Sikap merendah diri terhadap kelebihan yang ada padanya amat disenangi mereka yang mengenali pemuda ini, terutama penduduk kampung didiaminya. Bagaimanapun, kebahagiaan dinikmati Adam bersama isteri, Zulaikha, dan anaknya tidak bertahan lama selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Isterinya meninggal dunia di tempat tragedi.

Kematian Zulaikha membunuh semua rasa dan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan Islam yang membantu orang kampung. Adam seakan-akan tidak boleh menerima qada dan qadar Tuhan. Keimanannya mula rapuh, tergugat dan tidak sekuat dulu. Adam mula murung, mengasingkan diri daripada jemaah masjid dan lebih senang beribadat di rumah, ditemani anaknya, Amir.

Dalam masa yang sama, Maria, seorang penduduk di kampung Adam mengalami gangguan jin yang teruk sehingga ke tahap dirinya disahkan oleh pakar perubatan moden dengan penyakit tekanan perasaan yang serius. Kemewahan hidup keluarganya tidak membawa apa-apa makna apabila gangguan dialaminya semakin lama semakin menggila. Dia hanya bergantung pada ubat penenang yang kesannya hanya sementara.


SITUASI di tanah perkuburan berjaya meningkatkan suasana menyeramkan dalam Munafik.

Sementara itu, Adam semakin tertekan kerana anaknya juga bersedih merindui arwah ibu. Walaupun dalam keadaan tertekan, Adam terpaksa akur dan bersetuju untuk mengubati Maria selepas dipujuk dengan bersungguh-sungguh oleh Imam kampungnya.

INFO:
Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd
Penerbit: Datuk Yusof Haslam
Pengarah: Syamsul Yusof
Karya Asal/Skrip: Syamsul Yusof
Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Datuk Rahim Razali, A Galak
Kos pembikinan & Promosi: RM1.7 juta
Lokasi Penggambaran: Kuala Lumpur/Putrajaya/Pelabuhan Klang
Tarikh Tayangan: Mulai 25 Februari 2016

Berita Harian X