Rabu, 2 March 2016 | 11:04am

21 calon STPM Pahang dapat PNGK 4.00

KUANTAN: Seramai 21 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di Pahang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail, berkata bilangan itu menurun berbanding 24 calon mendapat keputusan sama pada tahun 2014.

"Calon yang mendapat PNGK 3.0 pada STPM 2015 meningkat kepada 870 orang atau 40.22 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu 844 calon atau 35.99 peratus," katanya di sini, sebentar tadi.

Katanya, seramai 2,139 atau 98.89 peratus daripada 2,163 calon sekolah kerajaan di negeri ini mendapat kelulusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh yang mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 97.08 peratus.

"Peratus kelulusan itu menunjukkan penurunan 0.19 peratus berbanding 99.08 peratus pada tahun sebelumnya, namun ada peningkatan dari segi calon lulus penuh lima mata pelajaran (5P), iaitu seramai 39 orang berbanding 13 pada tahun 2014.

"Peningkatan juga direkodkan bagi peratusan calon lulus penuh empat mata pelajaran, iaitu 75.64 peratus atau 1,636 calon berbanding 72.29 peratus pada tahun sebelumnya," katanya.

Rosdi berkata, dari aspek Gred Purata Sekolah (GPS) pula, sebanyak 49 sekolah kerajaan mencatat 2.78 mata atau peningkatan 0.08 mata berbanding 2.70 pada tahun lalu dan ia mengatasi minimum GPS peringkat nasional iaitu 2.65 mata.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub yang mencatat GPS 3.21 mata dianugerahkan Sekolah Terbaik STPM 2015 peringkat nasional bagi kategori luar bandar oleh Majlis Peperiksaan Malaysia apabila 35 daripada 48 calonnya memperoleh PNGK lebih 3.0 mata.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X