Rabu, 2 March 2016 | 11:21am

STPM 2015: PNGK nasional meningkat

PENGERUSI Majlis Peperiksaan, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak mengumumkan keputusan SPTM di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 mencatatkan peningkatan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.65, berbanding 2.62 pada 2014.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata peratusan calon mendapat PNGK 4.00 bagaimanapun menurun 0.11 peratus, iaitu 0.80 peratus atau 335 calon berbanding 0.91 peratus (390 calon) pada 2014.

"Bilangan calon mendapat PNGK 3.50 ke atas pada STPM 2015 meningkat kepada 11.22 peratus atau 4,711 calon berbanding 10 peratus atau 4,285 calon pada 2014, begitu juga calon bagi PNGK antara 2.00 hingga 3.49 yang turut meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Keputusan ini memberi peluang lebih baik kepada pelajar memohon memasuki universiti di dalam dan luar negara kerana lebih ramai mendapat PNGK lebih baik, iaitu 2.50 ke atas berbanding 2014," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2015, di sini pagi tadi.

Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran, menurun sedikit iaitu daripada 97.81 peratus atau 41,915 calon pada 2014 kepada 97.64 peratus (40,995 calon) pada STPM 2015.

"Ini disebabkan oleh penurunan pencapaian calon yang mengambil satu hingga tiga mata pelajaran yang kebanyakannya calon sekolah swasta dan persendirian," katanya.

Sementara itu; di KUALA TERENGGANU: Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, berkata Terengganu meneruskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan apabila muncul terbaik peringkat kebangsaan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 yang diumumkan, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu adalah untuk dua tahun berturut-turut dengan beberapa pencapaian luar biasa yang dicatatkan pada tahun ini.

"Keputusan peperiksaan Terengganu pada tahun ini amat memberangsangkan apabila sebanyak 32 sekolah memperoleh pencapaian Min Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) lebih daripada 2.80 ke atas berbanding 22 sekolah pada tahun sebelumnya," katanya.

Selain itu, katanya jumlah pelajar yang mendapat 4A juga meningkat daripada 12 pelajar tahun lalu kepada 15 pelajar tahun ini.

Di KOTA BHARU: Kelantan mencatat 98.26 peratus iaitu seramai 3,447 calon lulus penuh keseluruhan.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Datuk Ab Aziz Abdullah, berkata pencapaian itu mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.62 peratus.

"Pencapaian Min Nilai Gred keseluruhan (PGNK) calon Sekolah Bantuan Kerajaan bagi negeri Kelantan ialah 2.73, berbanding peringkat nasional iaitu 2.65."Kali ini calon yang mendapat 5 prinsipal dan 4 prinsipal seramai 2,622 atau 75.20 peratus berbanding tahun 2014 iaitu seramai 2,722 atau 72.86 peratus," katanya.

Di MELAKA; Seramai 20 calon STPM memperoleh PNGK 4.00 bagi tahun ketiga peperiksaan yang dijalankan mengikut format baharu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari, berkata bilangan itu meningkat berbanding 13 calon mendapat keputusan sama pada tahun 2014.

"Daripada jumlah 20 calon ini, enam daripadanya masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang dan SMK Munshi Abdullah, SMK Tinggi Melaka (5), dan masing-masing seorang dari SMK Yok Bin, SMK Infant Convent dan SMK Seri Tanjung," katanya.

Di SEREMBAN: Seramai sembilan calon STPM 2015 memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil, berkata PNGK negeri pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.02 mata, iaitu 2.66 pada tahun lalu berbanding 2.68 pada tahun sebelum itu.

Di JOHOR BAHRU; Pengarah Pelajaran Johor, Aminudin Adam, berkata seramai 4,866 daripada 5,277 calon mencatat keputusan lulus penuh dengan sekurang-kurangnya satu prinsipal.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.12 peratus berbanding tahun 2014 yang mencatatkan seramai 4,790 (98.62 peratus) calon mendapat keputusan yang sama.

Di KLANG; Pengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Nor, berkata 4,109 calon mendapat kelulusan penuh. Jumlah itu membabitkan 96.77 peratus pelajar daripada 4,246 pelajar yang menduduki peperiksaan.

"Kita mengalami peningkatan sebanyak 0.01 peratus berbanding peratusan tahun lalu.

"Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) juga sekali lagi menjadi sekolah terbaik keseluruhan dalam STPM dengan Gred Peratusan Sekolah (GPS) 3.35 peratus," katanya.

Di KUANTAN; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail, berkata seramai 21 calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Bilangan itu menurun berbanding 24 calon mendapat keputusan sama pada 2014.

"Calon yang mendapat PNGK 3.0 pada STPM 2015 meningkat kepada 870 calon atau 40.22 peratus berbanding tahun sebelumnya, 844 calon atau 35.99 peratus," katanya.

Di BUKIT MERTAJAM: Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Yeoh Kok Kheng, berkata seramai 26 daripada 2,267 calon di Pulau Pinang berjaya mencapai keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Katanya, keputusan peperiksaan STPM di negeri ini juga menyaksikan 13 daripada 37 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus sekali gus dinobatkan antara sekolah cemerlang.

Antara sekolah yang mencatatkan keputusan cemerlang termasuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, SMK (L) Al Mashoor, SMK Penanti dan SMK Sungai Acheh.

Berita Harian X