Rabu, 2 March 2016 | 2:12pm

E-Visa: Kedatangan pelancong China ke Johor dijangka meningkat

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong

JOHOR BAHARU: Kerajaan Johor yakin kedatangan pelancong China ke negeri ini meningkat 10 peratus tahun ini menerusi pelaksanaan program visa elektronik (e-Visa) serta maklumat dan pendaftaran pelancongan elektronik (ENTRI).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif itu memandangkan pelancong China adalah pasaran ketiga terbesar Johor.

"Pelaksanaan ini turut dapat menggalakkan rakyat China yang berada di Singapura melancong ke Johor. Difahamkan, kira-kira sejuta rakyat China berada di Singapura, termasuk yang menjalankan perniagaan, belajar atau menetap di negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama Persatuan Ejen Pengembaraan Kemboja (CATA) dan Persatuan Ejen Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Cawangan Kemboja, di sini malam tadi.

E-visa dan ENTRI dilancarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Beijing, China semalam. Untuk masuk ke Malaysia bermula semalam hingga 31 Disember ini, pelancong China boleh memohon visa secara dalam talian dan mencetak sendiri e-visa.

Siew Kiong berkata, seramai 628,087 pelancong China berkunjung ke Johor pada tahun 2014 dan 313,939 lagi dari Januari hingga Jun tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengusaha pelancongan di Johor menyediakan pakej pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong China.

"Kita juga yakin dengan promosi pelancongan lebih agresif di China, termasuk di Chengdu dan Xi'an, dapat menarik lebih ramai pelancong negara itu ke Johor yang menyediakan pelbagai pusat pelancongan menarik seperti taman tema," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X