Rabu, 2 March 2016 | 2:30pm

STPM 2015: 10 sekolah terbaik terima penghargaan

PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan (empat dari kanan) bersama 24 pelajar terbaik STPM di Kedah di SMK Jitra, Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengumumkan 10 sekolah yang menerima Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015.

Sekolah terbabit ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang, Selangor; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Taiping, Perak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Kedah; SMK Tun Dr Ismail, Muar, Johor; SMK Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan.

Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan; SMK Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, Kelantan; SMK Dong, Raub, Pahang; SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan SMK Perempuan Abu Bakar, Muar, Johor.

Semua sekolah terbabit menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Terbaik dan Pelajar Terbaik STPM dan Malaysian University English Test (MUET) 2015 di sini hari ini.

Selain itu seramai 16 pelajar dipilih sebagai pelajar terbaik STPM 2015 mengikut pelbagai kategori. Setiap pelajar menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM1,000.

Berita Harian X