Rabu, 2 March 2016 | 3:32pm

Watak Izzah jadi milik Uqasha

Uqasha Senrose (kiri) dan Keith Foo. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pelakon yang akan membawakan watak Izzah dalam teater Ombak Rindu akhirnya terjawab apabila karakter terbabit menjadi milik Uqasha Senrose.

Pelakon jelita berkenaan mengumumkan pemilihannya bagi watak berkenaan menerusi laman sosial Instagramnya, beberapa jam lalu.

Teater yang diangkat daripada novel terkenal tulisan Fauziah Ashari itu akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 22 April depan. Selain dirinya, turut membintangi naskhah terbitan CTRA Production itu ialah Keith Foo, Zarina Zainoordin, Zaidi Omar, Izzue Islam, Aris Lufias, Ameer dan Karl Shafek.

Sebelum ini, menerusi versi filem yang ditayangkan pada penghujung 2011, watak utama perempuan dipegang oleh Maya Karin manakala karakter Hariz pula dijayakan Aaron Aziz.

Uqasha yang julung kali beraksi di pentas teater mengaku dirinya cukup teruja untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. Pada masa sama, dirinya juga gementar dengan amanah yang diberikan kepadanya.

"Penerbitnya, Kak Roy (Siti Rohayah Attan) yang menawarkan saya peluang ini, beberapa hari lalu. Saya dimaklumkan bakal membawa dua karakter untuk pementasan teater ini.

"Saya memang terkejut dengan peluang ini kerana watak berkenaan bukan calang-calang. Ia pernah dilakonkan oleh Maya yang diakui sangat hebat bakatnya. Jujurnya, saya berfikir banyak kali untuk menerima tawaran ini.

"Begitupun selepas diyakinkan Kak Roy, saya menyahut cabaran berkenaan. Sudah tiba masanya juga saya mencabar kemampuan diri. Sebelum ini saya pernah beberapa kali mendapat tawaran dari Istana Budaya untuk berlakon teater, begitupun saya menolaknya kerana belum berani mengambil risiko. Insya-Allah saya akan cuba berikan yang terbaik untuk watak Izzah ini," katanya kepada BH Online.

Sebelum melangkah ke sesi latihan Ombak Rindu, Uqasha terlebih dulu akan melunaskan baki penggambaran drama, Tundukkan Playboy Itu, yang kini bersiaran di TV3.

"Penggambaran Tundukkan Playboy Itu dijangka selesai pada 23 Mac ini. Kemudian, saya akan berehat seketika sebelum memulakan latihan untuk teater ini pada 28 Mac. Saya akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan watak Izzah dengan memberikan tumpuan penuh ketika latihan kerana saya sedar, saya langsung tiada asas dalam lakonan teater," katanya.

Menurut pelakon ini. beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergandingan dengan Keith, apatah lagi mereka pernah berlakon sebagai pasangan suami-isteri dalam drama, Dia Isteri Luar Biasa.

Berita Harian X