Rabu, 2 March 2016 | 4:58pm

Siti raikan Anggun di pentas konsertnya


PENYANYI antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Penyanyi antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi, 42, antara bintang yang akan menggegarkan Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends yang akan berlangsung di Stadium Negara, 2 April depan.

Selain penghibur kelahiran Indonesia berkenaan, konsert yang diadakan sempena sambutan 20 tahun Siti dalam bidang seni itu juga menampilkan penyanyi terkenal lain dari kedua-dua negara iaitu Faizal Tahir, Hafiz Suip, Afgan dan Cakra Khan.

Selain gabungan penyanyi terkemuka, konsert yang dijangka menarik perhatian lebih 6,000 peminat itu juga bakal menyaksikan persembahan artis diiringi lima pemuzik Amerika Syarikat. Lagu-lagu yang akan dipersembahkan pula digubah semula oleh pengarah muziknya, JKey.

"Pada konsert ini, bukan sekadar lagu Kau Ilhamku yang akan dinyanyikan semua artis terbabit, malah semua lagu nyanyian Siti.

"Selain itu, konsert kali ini akan menampilkan pentas gah bersama rekaan yang mengagumkan," kata Siti ketika ditemui pada sidang media persembahan berkenaan di sini, hari ini.


KONSERT Datuk Siti Nurhaliza and Friends akan berlangsung di Stadium Negara, 2 April depan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, Anggun melalui rakaman video melahirkan keterujaan apabila dapat berkongsi pentas dengan penyanyi nombor satu negara itu.

"Saya terharu dengan penghormatan ini, apabila diberi peluang beraksi di Malaysia bersama Siti dan peminat di sana. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi pentas pada konsert itu nanti," katanya.

Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends dikhususkan untuk pelanggan Celcom Xpax. Bagi bukan pelanggan Celcom, mereka masih boleh mendapatkan tiket dengan memiliki pek Celcom Xpax berharga serendah RM30 dan menjadi pelanggan Yonder Music.

Berita Harian X