Khamis, 3 March 2016 | 12:06am
NORYUSNITA Mohamad, 25, yang cacat penglihatan membaca Al-Quran Braille. - Foto Aswadi Alias
CHTIA'AN @ Norita Ali, 50, yang mempunyai masalah rabun membaca Al-Quran Braille. - Foto Aswadi Alias

E-braille al-Quran mantap pengajian orang buta


KUALA TERENGGANU: Penggunaan e-braille al-Quran, al-Quran braille elektronik memantapkan pembelajaran kitab suci itu dalam kalangan 50 pelajar kelas itu di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Kelas al-Quran untuk golongan cacat penglihatan itu dianjurkan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu.

Sebanyak 11 unit e-Braille al-Quran yang dibekalkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, berkata, persatuan itu adalah yang pertama menggunakan e-Braille al-Quran kerana sebelum ini, hanya sekolah khas di Johor, Sarawak dan Pulau Pinang menggunakannya.

Sebelum ini, orang kurang upaya (OKU) buta menggunakan naskhah al-Quran Braille biasa yang dibahagikan kepada enam jilid untuk mempelajari bacaan al-Quran dan tajwid

Kini, dengan pengenalan e-Braille al-Quran, golongan berkenaan dapat mempelajari membaca al-Quran dengan lebih baik dan sistematik.

E-Braille adalah al-Quran elektronik pertama di dunia dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memberi kemudahan kepada golongan cacat penglihatan mempelajari al-Quran.


RAMLAH Hadhim, 63, (kanan) bersama pelajar yang lain menggunakan e-braille al-Quran dipantau guru, Ramli Mat Shom, 65, (dua dari kanan) di Kelas Mengaji Al-Quran Bagi Orang Cacat Penglihatan di Seberang Takir. - Foto Aswadi Alias


RAMLAH Hadhim, 63, yang cacat penglihatan membaca Al-Quran elektronik. - Foto Aswadi Alias

Ia mempunyai pelbagai kelebihan berbanding al-Quran Braille biasa kerana lebih ringan, mudah dibawa, tulisannya lebih jelas dan paling istimewa, mempunyai sistem audio yang membolehkan mereka mendengar bacaan bertajwid.    

Baru-baru ini, PERTIS Terengganu menerima 11 unit e-Braille Quran itu yang bernilai RM165,000.

Katanya, penggunaan e-Braille al-Quran diharap dapat mempertingkatkan kemahiran membaca dan mempelajari tajwid dalam kalangan orang cacat penglihatan.

Katanya, pada masa ini e-Braille Quran itu dimanfaatkan oleh 50 pelajar di kelas pengajian itu yang selama ini menggunakan kaedah manual yang agak sukar dan perlu dipantau oleh guru bagi memastikan bacaan serta tajwid adalah betul dan tepat.

"Walaupun masih menggunakan khidmat guru untuk memantau secara minimum, pelajar kini mampu mengesan kesalahan sebutan dengan sendiri kerana alat itu dilengkapi sistem audio.

"Justeru, guru boleh memberi tumpuan kepada pelajar baharu yang memerlukan lebih tumpuan serta perhatian.


MOHD Sharulsolehin Ibrahim, 24, (kanan) yang cacat penglihatan membaca Al-Quran Braille di Program Kelas Mengaji Al-Quran Bagi Orang Cacat Penglihatan di Seberang Takir. - Foto Aswadi Alias

"PERTIS berharap akan menerima lebih banyak tajaan daripada pelbagai pihak yang mahu menyumbang e-Braille Quran kepada kelas ini kerana ia dapat dimanfaatkan lebih ramai orang cacat penglihatan pada masa depan," katanya. 

Katanya, Terengganu juga adalah perintis kepada pengenalan pembelajaran al-Quran yang sistematik dan tersusun bagi orang cacat penglihatan menggunakan modul yang dihasilkan sendiri.

 Malah, katanya modul itu turut diguna pakai oleh persatuan negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Pahang.

"Selain belajar bacaan dan tajwid, kami juga mengendalikan kelas hafazan kepada orang biasa yang berminat untuk mempelajari al-Quran Braille.

"Ini adalah antara usaha kami untuk mengintegrasikan golongan cacat penglihatan ke dalam masyarakat luar kerana mereka saling memerlukan dan tidak boleh hanya bergaul dalam lingkungan sendiri sahaja," katanya.


PENGERUSI PERTIS Wilayah Timur, Mohd Fauzi Mansor. - Foto Aswadi Alias

Mohd Fauzi berkata, sebagai umat Islam, kewajipan mempelajari al-Quran perlu dititikberatkan walaupun seseorang itu cacat penglihatan kerana ia adalah panduan utama hidup yang menyinari manusia dalam kegelapan.

Menyedari hakikat itu, beliau melalui PERTIS tekad membuka kelas pengajian al-Quran di Seberang Takir yang lebih sistematik dan tersusun bagi melahirkan golongan buta yang celik al-Quran.

"Pada awal penubuhan kelas, hanya tujuh pelajar yang mendaftar dan mereka diajar oleh seorang guru menggunakan al-Quran Braille yang terdiri daripada enam naskhah bagi 30 juzuk.

"Bagaimanapun, sambutan semakin baik dari tahun ke tahun dan kini kami mempunyai 50 pelajar yang datang daripada seluruh pelusuk negeri termasuk Marang, Hulu Terengganu dan Dungun," katanya.

Kelas pengajian itu kini dibimbing tujuh guru.


SEBAHAGIAN pelajar cacat penglihatan mengikuti kelas membaca Al-Quran anjuran PERTIS. - Foto Aswadi Alias

Naik teksi 100 kilometer tuntut ilmu al-Quran

Sementara itu, seorang warga tua cacat penglihatan, Siti Syahirah Mohamad, 61, dari Kuala Berang, yang turut mengikuti pembelajaran di kelas pengajian itu berkata, usia lanjut dan kecacatan tidak menghalangnya untuk mempelajari ilmu al-Quran.

Sejak lima tahun lalu, dia bersama tiga rakan lain yang senasib menaiki teksi sejauh 100 kilometer tiga kali seminggu semata-mata untuk menimba ilmu yang tidak mungkin dapat ditemui di tempat lain.

Katanya, mereka berkongsi membayar tambang sebanyak RM15 seorang menggunakan wang sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hasil titik peluh yang tidak seberapa.

"Walaupun Allah tidak mengurniakan kami nikmat mata, kami bersyukur kerana hati ini masih diberikan hidayah dan dibukakan untuk mencari ilmu.

"Biarpun agak sukar, kami tetap akan teruskan usaha dalam mencari keredhaan Allah," katanya yang sudah khatam jilid ketiga al-Quran Braille.

128 dibaca
Berita Harian X