Rabu, 22 Oktober 2014 | 7:01am

Peruntukan RM1.3b perkasa penyelidikan IPT tempatan

Warga akademik, khususnya di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara tentunya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM1.3 billion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Bajet 2015 untuk program pembangunan inovasi dan pengkomersialan.

Walaupun peruntukan berkenaan disalurkan kepada MOSTI, tidak bermakna penyelidik di institusi pengajian tinggi awam dan lain-lain institusi penyelidikan yang tidak bernaung di bawah MOSTI tidak mendapat peruntukan.

Warga akademik yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan turut mendapat manfaat kerana institusi pengajian tinggi diakui banyak menyumbang kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan di negara ini.

Justeru, kerajaan memberi status Universiti Penyelidikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Status berkenaan sebagai mengiktiraf peranan institusi berkenaan yang mencapai tahap tertinggi dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di negara ini.

Sebagai Universiti Penyelidikan, pusat pengajian tinggi berkenaan turut mendapat peruntukan tahunan khusus untuk program enyelidikan dan pembangunan.

Satu pelaburan bijak

Walaupun diberi peruntukan, warga akademik dari universiti berkenaan masih boleh mendapatkan pembiayaan daripada MOSTI bagi menjalankan penyelidikan dengan mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan.

Peruntukan sebanyak RM1.3 billion kepada MOSTI adalah satu pelaburan yang bijak. Menerusi peruntukan berkenaan lebih banyak projek penyelidikan dan pengkomersialan dapat dijalankan.

Bagi tempoh tahun 2007 hingga tahun 2013, lima buah Universiti Penyelidikan itu berjaya menjana pendapatan RM3.6 billion menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di UTM, baru-baru ini.

Pendapatan berkenaan diperolehi menerusi pengkomersialan produk penyelidikan bernilai RM1.25 billion, selain sumbangan RM205.14 juta melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang berfokuskan kepada 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ketika negara menuju ke arah negara maju, Malaysia memerlukan pembangunan modal insan berpengetahuan tinggi pada peringkat Doktor Falsafah (PhD). Hampir keseluruhan pengajian pada peringkat PhD, terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dijalankan menerusi kaedah penyelidikan.

Pelbagai pengajian diperkenalkan untuk melahirkan tenaga kerja mahir berpendidikan tinggi, antaranya MyBrain 15 dan PhD Industri. Mereka yang mengikuti program PhD Industri tidak perlu hadir ke kuliah, sebaliknya bekerja seperti biasa dan pada masa sama menjalankan kajian bagi mencari penyelesaian kepada masalah di tempat kerja.

Hasil yang diperolehi melalui program itu bukan berbentuk produk, sebaliknya pengetahuanbaharu, penambahbaikan proses dan penjimatan kepada industri terbabit.

Bantu selesai masalah industri

Sepanjang tempoh tahun 2005 hingga 2013, 1,153 produk penyelidikan, termasuk projek perundingan dan penyelesaian kepada masalah industri telah berjaya dilaksanakan. Di samping itu, PhD Industri dapat mengukuhkan lagi hubungan antara universiti dan industri, memperbanyak aktiviti penyelidikan dan membantu menjayakan hasrat kerajaan menyediakan 60,000 graduan PhD menjelang tahun 2023.

Langkah berkenaan dapat membantu kerajaan menjayakan pelaburan berkualiti tinggi yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan membabitkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan dengan gaji yang tinggi, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Tindakan Ketujuh: Pelaburan Berkualiti Tinggi dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini. Dalam menjalankan penyelidikan, tidak semua kajian dengan sekali percubaan akan berakhir dengan kejayaan. Thomas Edison menjalankan kajian lebih seribu kali sebelum berjaya menghasilkan lampu.

Namun, sesetengah pihak sering menganggap penyelidikan akan berakhir dengan penghasilan produk untuk pengguna. Bagaimanapun, hasil kajian adalah pelbagai termasuk dalam bentuk penerbitan, formula dan paten. Dalam keghairahan untuk mengkomersialkan produk yang dihasilkan, ada industri yang tidak jujur. Mereka membeli paten yang dihasilkan penyelidik dan melakukan blanketing bagi melindungi produk mereka yang sedia ada di pasaran.

Hakikatnya, penyelidikan ambil masa yang lama, memerlukan ketekunan, kesabaran, selain dana yang mencukupi untuk membeli peralatan dan membayar gaji kepada pembantu penyelidik. Oleh itu, penyelidik yang waras, tidak akan membuang masa, tenaga dan wang ringgit melakukan penyelidikan hanya untuk syok sendiri.

Berita Harian X