Khamis, 3 March 2016 | 7:33am

Enjin, kipas pesawat TUDM CN235 dinaikkan

PROSES untuk mengeluarkan enjin pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) jenis CN235 yang terhempas di persisiran Pantai Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor. - Foto Sairien Nafis
PROSES untuk mengeluarkan enjin pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) jenis CN235 yang terhempas di persisiran Pantai Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor. - Foto Sairien Nafis

KUALA SELANGOR: Sebuah enjin dan kipas sebelah kanan pesawat CN245 yang terhempas di sini, Jumaat lalu, dibawa ke jeti nelayan Kampung Assam Jawa jam 11.20 malam tadi.

Operasi membawa keluar bahagian pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dimulakan pada jam 9 malam tadi dan kedua-dua bahagian kapal terbang berkenaan dinaikkan di jeti nelayan kira-kira jam 11.20 malam.

Sumber berkata, operasi itu dilakukan anggota tentera dengan bantuan beberapa nelayan.

"Jika bahagian kapal terbang ini jatuh di atas darat atau di laut, lebih mudah untuk mendapatkannya semula berbanding di kawasan berselut seperti lokasi ini.

"Pasukan yang ditugaskan membawa pulang pesawat ini terpaksa berdepan dengan beberapa faktor seperti air pasang, cuaca serta ada kawasan yang berselut hingga ke paras dada.

"Selepas berjaya membawa keluar enjin sebelah kanan dan kipas kapal terbang ini, mereka akan cuba membawa keluar bahagian lain pula yang masih berada di lokasi," katanya.

Difahamkan, enjin dan kipas seberat kira-kira 480 kilogram itu diapungkan menggunakan rakit pelampung dan ditunda ke jeti nelayan dengan menggunakan sampan dan bot.

Kedua-dua bahagian pesawat berkenaan akan diserahkan kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi ini.

Beberapa bahagian penting seperti enjin sebelah kiri pesawat berkenaan akan dibawa keluar secara berperingkat-peringkat dalam beberapa hari ini, bergantung kepada keadaan cuaca dan pasang surut air laut.

Kerja membawa keluar bahagian dan serpihan pesawat CN235 yang terhempas di pantai Kampung Assam Jawa pagi Jumaat lalu, yang sepatutnya dijalankan pagi semalam, terpaksa ditangguhkan selepas kawasan berkenaan mengalami fenomena air laut mati yang menyebabkan paras air yang cetek berbanding biasa.

Berita Harian X