Khamis, 3 March 2016 | 9:33am

SPM 2015: 9,721 calon peroleh semua A

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof mengadakan Sidang Media Pengumuman Analisis keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof mengadakan Sidang Media Pengumuman Analisis keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Seramai 9,721 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, menurun berbanding 11,289 calon pada 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata jumlah itu menurun iaitu 2.38 peratus daripada calon yang menduduki peperiksaan itu, berbanding 11, 289 calon (2.63 peratus) pada 2014.

Mengumumkan demikian pada sidang media di sini sebentar tadi, Khair berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi SPM 2015 juga menurun kepada 5.15, berbanding 5.08 pada 2014.

"Jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar mengecil sebanyak 0.05 iaitu 0.5 pada tahun 2015 berbanding 0.55 pada 2014.

"Berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 38 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 34 mata pelajaran menurun, manakala satu mata pelajaran mengekalkan prestasinya," katanya.

Seramai 440,682 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2015 di 34,501 pusat peperiksaan seluruh negara dari 2 November hingga 8 Disember lalu.

Mengenai penurunan dari segi calon mendapat keputusan cemerlang dan GPN itu, Khair berkata, keputusan itu masih berada dalam julat dibenarkan dan ia tidak membabitkan perubahan yang ketara.

"Bagaimanapun, setiap negeri akan membuat analisis mengenai keputusan masing-masing," katanya.

Berita Harian X