Khamis, 3 March 2016 | 10:57am

SPM: 340 calon Kelantan, 586 di N Sembilan dapat semua A

PENGARAH Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil bersama Timbalannya, PKharudin Ghazali (kiri) menunjukkan buku analisi keputusan pada sidang media Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 peringkat Negeri Sembilan di Balai Gadong Pejabat Pendidikan Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad
PENGARAH Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil bersama Timbalannya, PKharudin Ghazali (kiri) menunjukkan buku analisi keputusan pada sidang media Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 peringkat Negeri Sembilan di Balai Gadong Pejabat Pendidikan Negeri Sembilan. - Foto Hazreen Mohamad

KOTA BHARU: Seramai 340 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di Kelantan memperoleh A bagi semua mata pelajaran, peningkatan 0.19 peratus berbanding 314 calon pada SPM tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Ab Aziz Abdullah ketika mengumumkan keputusan di sini sebentar tadi, berkata dari segi Gred Purata Negeri (GPN) pula, Kelantan memperoleh 5.03 yang sama dengan GPN pada tahun 2014 dan masih mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 5.15.

"Sebanyak 54 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi GPN dan 68 sekolah mencatat peningkatan GPS dengan GPS terbaik iaitu 1.84. Sebanyak 87 sekolah pula mengatasi peratus yang layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 89.73 peratus.

"Selain itu, 24 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus, termasuk tiga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Tiga sekolah mencapai kelulusan 100 peratus semua mata pelajaran ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Jeli, SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra dan SMUA Al Kauthar," katanya.

Di SEREMBAN; Seramai 586 atau 3.74 peratus calon SPM 2015 memperoleh A bagi semua mata pelajaran, termasuk 11 yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil, berkata seramai 15,660 calon mengambil peperiksaan itu di sebanyak 112 sekolah tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 664 orang berbanding 16,324 calon pada tahun sebelumnya.

"GPN adalah 4.90, iaitu penurunan 0.05 mata berbanding 4.85 pada tahun 2014. Seramai 13,262 calon atau 84.7 peratus layak menerima sijil berbanding 13,752 calon atau 84.2 peratus pada tahun 2014," katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Pendidikan di sini sebentar tadi.

Katanya, pencapaian GPN calon di bandar bertambah sebanyak 0.13 mata, iaitu 4.74 pada tahun 2015 berbanding 4.61 pada tahun sebelum itu, manakala pencapaian calon di luar bandar berkurangan 0.07 mata, iaitu 5.16 pada 2015 berbanding 5.23 pada tahun sebelumnya.

"Ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar, lebih baik berbanding calon di bandar," katanya.

Berita Harian X