Khamis, 3 March 2016 | 12:27pm

SPM 2015: 890 calon di Perak, 448 di Kedah cemerlang

IPOH: Seramai 890 atau 2.66 peratus daripada 33,493 calon sekolah kerajaan yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang, A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan negeri, Rozi Puteh, berkata sebilangan besar yang memperoleh keputusan cemerlang itu mengambil sembilan atau 10 mata pelajaran, namun secara keseluruhan jumlah mendapat A semua mata pelajaran menurun sedikit berbanding 934 calon pada SPM tahun sebelumnya.

Calon memperoleh A bagi semua mata pelajaran membabitkan 353 yang mengambil sembilan mata pelajaran, 392 (10 mata pelajaran), 139 (11 mata pelajaran) dan tujuh (12 mata pelajaran).

"Indeks Gred Purata Negeri (GPN) 2015 pula adalah 5.22 berbanding 5.20 pada 2014, penurunan 0.02 mata," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan berkenaan di Pejabat Pendidikan negeri, di sini sebentar tadi.

Katanya, pencapaian calon di luar bandar meningkat sebanyak 0.05 mata GPN, iaitu 5.52 tahun lalu berbanding 5.57 pada 2014, manakala bagi calon di bandar ada penurunan 0.06 mata GPN, iaitu 5.19 tahun lalu berbanding 5.13 pada 2014.

Di KEDAH, seramai 448 daripada 35,521 calon memperoleh keputusan A bagi semua mata pelajaran, menurun 0.09 peratus berbanding 2014.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan yang mengumumkan keputusan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di Alor Setar sebentar tadi, berkata pencapaian SPM Kedah tahun lalu juga menurun dengan Gred Purata Negeri (GPN) 5.23 berbanding 5.19 pada 2014.

"Dari segi lokasi, pencapaian GPN calon bandar meningkat daripada 5.15 pada 2014 kepada 5.12 tahun lalu. Peningkatan GPN turut direkod dalam pencapaian calon luar bandar, iaitu daripada 5.55 pada 2014 kepada 5.52 tahun lalu.

"Lima subjek bernilai tinggi merekodkan peningkatan dalam jumlah calon memperoleh semua A, iaitu Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Prinsip Akaun dan Fizik. Tahun ini, 12 calon Kedah mencatat gred A+ dan A (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran diduduki," katanya.

Berita Harian X