Khamis, 3 March 2016 | 12:48pm

Mira Filzah di puncak populariti


PEMENANG Anugerah Artis Baharu Meletop, Mira Filzah pada Anugerah Meletop Era 2016 di Pusat Konvensyen CIDB. - Foto Adi Safri.

KUALA LUMPUR: Trofi Artis Baharu MeleTOP yang diraih Mira Filzah pada Anugerah MeleTOP ERA (AME) 2016 memberi petunjuk jelas drama Cinta Si Wedding Planner lakonannya, menjulang nama gadis ini dalam radar populariti.

Mira yang menewaskan pesaing seperti Syamel, Azrel Ismail, Hafreez Adam dan Zahirah MacWilson pada AME 2016, mengaku drama rantaian yang disiarkan TV3 itu memberi 'tempias' positif kepada dirinya.

"Sebelum ini, Mira banyak berlakon untuk telefilem. Faham sajalah, tempoh siaran bagi format telefilem hanya dua jam. Jadi, mungkin ramai yang tak perasan kehadiran Mira dalam industri.

"Mira tak sangka, pertama kali berpeluang menjadi teraju utama dalam drama Cinta Si Wedding Planner, ia menjadi pembuka mata," katanya kepada BH Online.

Mira berkata, dia mendapat banyak maklum balas positif sejak drama itu disiarkan.

Namun, enggan mendabik dada, Mira sering bermuhasabah diri dan membaiki kelemahan sebagai pelakon baharu.

"Dalam episod awal drama itu, Mira tak nafikan, lakonan sedikit kaku. Namun, pengarah termasuk abang Adi Putra banyak membantu saya membaiki kelemahan. Episod demi episod, Mira menampakkan peningkatan.

"Mira juga gembira penerbit menghubungi dan mengucapkan tahniah rating drama itu naik," katanya.

Ditanya faktor drama Cinta Si Wedding Planner pantas meraih perhatian peminat, Mira menganggap, kombinasi drama adaptasi novel yang sudah mempunyai pengikut dan kelebihan Adi yang dianggap 'Hero Malaya' menjadi faktor kejayaan.

"Saya gembira menjadi sebahagian daripada drama itu. Malah, ada sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagram yang berlatarkan salah satu babak, mendapat lebih 1,000 lebih komen pengikut," katanya.

Mira menambah, dia dimaklumkan Cinta Si Wedding Planner akan dihasilkan dalam format telefilem bagi siaran Aidilfitri kelak.

Berita Harian X