Khamis, 3 March 2016 | 1:22pm

Manfaat e-visa tarik ramai pelancong China: MATTA

KUALA LUMPUR: Pengusaha pelancongan dan pengembaraan Malaysia harus memanfaatkan visa elektronik (e-visa) bagi menarik lebih ramai pelancong China ke negara ini.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat ketika mengalu-alukan pelancaran e-visa di Beijing, China pada Selasa berkata, e-visa ini lebih terjamin, ia tidak menjejaskan keselamatan, malahan mempertingkatkannya.

E-visa juga memastikan pertumbuhan dan kestabilan bagi industri pelancongan Malaysia, kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan e-visa untuk pelancong dari India, secepat mungkin kerana ia akan menjana satu lagi sumber pasaran yang besar bagi ekonomi Malaysia.

China dan India ialah sumber terbesar pelancong yang akan mengatasi negara-negara ASEAN yang digabungkan, katanya.

E-visa ialah untuk pemohon yang tinggal tidak melebihi 30 hari, dan dikehendaki membayar yuran pemprosesan sebanyak 200 yuan (RM128) manakala Sistem Maklumat dan Pendaftaran Elektronik (ENTRI) ialah bagi mereka yang membuat perjalanan singkat tidak melebihi 15 hari, dengan yuran pemprosesan sebanyak 160 yuan (RM102).

Pemohon boleh mendaftar di www.windowmalaysia.my/evisa, laman web rasmi untuk permohonan e-visa Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X