Khamis, 3 March 2016 | 3:19pm

Panasonic peruntukkan RM60j tahun ini naik taraf kilang

SUBANG JAYA: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) RM60 juta tahun ini untuk penambahbaikan fasiliti kilang pendingin hawanya di Shah Alam. 

Pengarah Urusan, Cheng Chee Chung, berkata peruntukan itu bagi meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran kilang yang ketika ini mengeluarkan 3.1 juta unit setahun. 

Katanya, ia juga antara perancangan untuk mengeluarkan 24 model baharu pendingin hawa tahun ini. 

"Pengeluaran pendingin hawa di kilang Shah Alam adalah untuk pasaran di Malaysia dan lebih 130 negara seluruh dunia kecuali China dan Jepun kerana kedua-dua negara itu mempunyai kilang mereka sendiri," katanya.

Mengulas persekitaran ekonomi semasa yang mencabar, syarikat meningkatkan aktiviti promosi serta pemasaran yang efektif. 

"Bagi tujuan itu, sejumlah RM9 juta diperuntukkan untuk pengiklanan dan promosi serta RM11 juta lagi bagi tujuan kempen pengguna," katanya. 

68 dibaca
Berita Harian X