Jumaat, 4 March 2016 | 12:05am

Islam tuntut jaga silaturahim

SILATURAHIM sesama saudara Islam perlu dipererat demi keutuhan ukhuwah. - Gambar hiasan
SILATURAHIM sesama saudara Islam perlu dipererat demi keutuhan ukhuwah. - Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, "(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbangkan dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang yang melakukan perkara itu) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya." (Surah Muhammad, ayat 22-23)

Ayat itu menggambarkan orang yang tidak mematuhi perintah Allah SWT akan bertindak melakukan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jamie li Ahkami Al-Quran memetik kata-kata Qatadah yang memberi huraian, "apakah kiranya jika kamu berpaling daripada kitab Allah SWT, kamu melakukan kerosakan ke atas muka bumi dengan menumpahkan darah dan memutuskan hubungan kekeluargaan sesama kamu."

Silaturahim umum dan khusus

Beliau juga membahagikan silaturahim ini kepada dua bahagian iaitu silaturahim umum dan khusus. Silaturahim umum adalah hubungan berdasarkan agama. Maka antara bentuk silaturahim adalah saling mengasihi, menasihati dan berbuat adil.

Manakala hubungan silaturahim khusus pula adalah dengan cara memberi nafkah kepada kaum kerabat, mengambil tahu keadaan serta memaafkan kesalahan mereka. Berdasarkan silaturahim umum, ia memberi maksud menghubungkan silaturahim dengan cara berbuat baik kepada semua yang mempunyai pertalian keluarga.

Menghubungkan silaturahim mempunyai beberapa tahap dan yang paling rendah adalah menyambungkan kembali hubungan hampir putus melalui perbualan atau sekadar mengucapkan salam supaya tidak termasuk dalam kategori orang yang memutuskan silaturahim.

Antara hikmah mengeratkan hubungan silaturahim ialah memudahkan urusan manusia kerana secara fitrahnya manusia tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya hidup saling bergantung antara satu sama lain dan melengkapi keperluan sesama mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah An-Nisa', ayat 1)

Terdapat banyak keistimewaan dalam menjalinkan silaturahim antaranya, mendapat keredaan Allah SWT.

Kedua, mendapat doa malaikat. Ketiga, memperoleh kata-kata yang baik daripada orang lain. Keempat, dipanjangkan umur dan yang kelima, memperoleh keberkatan rezeki.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang ingin agar rezekinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Memutuskan hubungan silaturahim akan menyebabkan kehidupan seseorang itu dibelenggu kesusahan dan rasa tidak aman. Sebenarnya, orang yang memutuskan silaturahim akan mendapat pembalasan di dunia lagi.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim." (Riwayat Ibn Majah)

Manakala balasan orang memutuskan silaturahim ialah dihalang daripada memasuki syurga Allah. Tetapi tidaklah bererti dia masuk ke dalam neraka selama-lamanya jika dia mempunyai iman. Namun, ancaman keras Rasulullah SAW menunjukkan memutuskan silaturahim termasuk dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW: "Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis. Setiap orang yang tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun akan diampuni kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan tangguhlah keduanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhlah keduanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhlah keduanya sampai mereka mahu berdamai." (Riwayat Muslim)

Hilang keberkatan umur

Selain tidak dapat memasuki syurga, orang yang memutuskan silaturahim juga akan menerima balasan dihilangkan keberkatan umurnya, disempitkan rezeki, terhalang daripada mendapat keampunan dan rahmat Allah, doanya tidak dimakbulkan serta akan dibenci oleh manusia.

Lazimnya, silaturahim yang terputus berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan disebabkan oleh harta benda, pusaka, fitnah, hasutan, dengki, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri.Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang meleraikan atau mendamaikan permusuhan itu.

Sebenarnya tanggungjawab untuk membina semula silaturahim yang terputus bukan saja terletak pada pihak bermusuhan, tetapi keluarga atau kawan-kawan juga boleh memainkan peranan dalam mendamaikan dan menyambung semula ikatan silaturahim yang terputus.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Oleh itu, menjadi kewajipan kita mempereratkan hubungan silaturahim dan menjauhi perkara yang boleh memutuskannya. Manakala masalah dalam keluarga pula hendaklah ditangani dengan penuh hikmah.

Kita akan terasa keindahan dan kebahagiaan hidup jika hubungan silaturahim ini dipelihara. Apa erti kekayaan, kedudukan dan pangkat jika hidup diisi permusuhan dengan orang di sekeliling kita. Ingatlah, silaturahim membawa kebahagiaan dan memutuskannya akan membawa kepada kecelakaan dunia dan akhirat.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X