Jumaat, 4 March 2016 | 7:30pm

Pemburu rusa haram ditahan


PENGARAH Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Rozidan Md Yasin menunjukkan gambar Rusa Sambar yang telah dilapah oleh pemburu haram pada sidang media. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Tiga pemburu haram ditahan manakala dua lagi sempat meloloskan diri dalam operasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, awal pagi tadi.

Pengarah PERHILITAN negeri, Rozidan Mohd Yassin, berkata ketiga-tiga suspek diberkas pada jam 3.45 pagi berdekatan Hutan Simpan Amanjaya.

"Anggota PERHILITAN memeriksa kenderaan dinaiki ketiga-tiga suspek dan menemui tiga hidupan liar disyaki rusa sambar yang sudah dipotong kepada beberapa bahagian.

"Selain itu, PERHILITAN turut menemui 16 butir peluru, sebilah pisau dan sebuah buku lesen senjata api yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rozidan berkata, identiti dua lagi pemburu haram yang melepaskan diri sudah dikenal pasti dan usaha giat dilakukan bagi mengesan kedua-dua suspek.

"Pemburuan haram berlaku kerana wujud permintaan dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap daging haiwan liar ini dan daging rusa sambar berkenaan mungkin dijual dengan harga RM40 sehingga RM60 sekilo di sekitar negara," katanya.

Rozidan berkata, rusa sambar adalah hidupan liar yang dilindungi dan aktiviti pemburuan haram akan mengurangkan populasi haiwan itu.

Sesiapa yang didapati memburu haiwan itu secara haram boleh didakwa mengikut Seksyen 60 (1) dan 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

544 dibaca
Berita Harian X