Sabtu, 5 March 2016 | 12:06am

Kebersihan tangan penting elak jangkitan bakteria

KITA selalu dilambakkan dengan produk kecantikan muka dan kulit yang dikatakan mampu melambatkan proses penuaan. Bagaimanapun, orang ramai kurang menyedari bahawa anggota badan yang paling jelas menunjukkan perubahan seiring dengan peningkatan usia adalah tangan.

Fungsi tangan banyak digunakan dalam kehidupan seharian dan ia menyebabkan tangan terdedah kepada pelbagai jenis kotoran, bakteria dan bahan kimia.

Kita sering mendengar mengenai imbangan pH apabila memperkatakan mengenai produk kulit tetapi sejauh mana kita tahu mengenainya?

Menurut Ahli Dermatologi, Dr Wong Su-Ming, pH adalah singkatan bagi 'potential of hydrogen' (potensi hidrogen) dan ia adalah sistem yang digunakan untuk mengukur dan membandingkan kekuatan asid dan paras asas.

Beliau yang mengendalikan klinik di Petaling Jaya berkata, skala pH bermula dari 0 hingga 14, dengan 0 adalah paras asid bateri. Air berada pada paras tujuh kerana ia adalah elemen semula jadi dan 14 adalah bacaan yang mengandungi alkali paling tinggi.

"Penting untuk kita mengawal paras pH dan badan kita akan melakukannya secara semula jadi," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

AHLI Dermatologi, Dr Wong Su-Ming. - Foto NSTP
AHLI Dermatologi, Dr Wong Su-Ming. - Foto NSTP

Kulit kawal suhu badan

Menurutnya lagi, kulit adalah organ paling besar pada tubuh badan. Ia mengawal suhu badan manusia, melindungi manusia daripada elemen persekitaran dan melawan bakteria.

"Paras pH semula jadi kulit badan manusia adalah sekitar 4.5 hingga 5.5. Nilai ini juga bergantung kepada skala asid kerana kulit adalah sistem pertahanan pertama yang menghalang segala jenis bakteria.

"Lapisan asid memberikan kuasa kepada kulit untuk melindungi kita daripada kuman, bakteria, angin dan pencemaran. Ia juga berfungsi mengekalkan kelembapan," katanya.

Oleh itu, dengan mengambil langkah menjaga kulit terutamanya di kawasan tangan, ia bukan hanya untuk tujuan kecantikan semata-mata, sebaliknya ia juga bertujuan untuk mengekalkan nilai pH yang optimum.

Guna produk sama paras pH kulit

Beliau berkata, dengan paras pH yang betul, kulit akan menjadi sihat, bersinar dan bercahaya.

"Dalam kebanyakan kes, sebarang komplikasi kulit yang berlaku seperti keradangan, kulit kering, kulit berkerak dan kulit kusam sebenarnya disebabkan pH tidak seimbang.

"Apabila orang ramai memilih produk, salah faham paling kerap berlaku adalah mereka beranggapan masalah kulit yang berlaku disebabkan oleh produk yang mengandungi alkali yang terlalu tinggi.

"Jadi mereka memilih untuk 'pergi ke arah yang bertentangan', kononnya hendak menyeimbangkan kembali keadaan.

"Ini nyata hanyalah mitos semata-mata sebaliknya cara terbaik untuk memulihkan semula keadaan adalah dengan menggunakan produk yang mempunyai paras pH yang sama dengan apa yang dimiliki oleh kulit kita," katanya.

Paras pH kulit adalah bahagian yang penting dalam penjagaan kulit dan orang ramai perlu faham bagaimana ia memberi kesan kepada setiap produk yang dibeli dan rutin penjagaan kulit yang diamalkan.

Dr Wong berkata, dengan mengekalkan keseimbangan kulit, ia adalah cara paling berkesan melindungi kulit dan menjadikannya sihat.

"Bagaimanapun, ada beberapa faktor dalaman dan luaran yang harus dipertimbangkan kerana dibimbangi akan menjejaskan paras pH kulit," katanya.

Faktor dalaman jejas kulit

Beliau memberi contoh antara faktor dalaman yang boleh menjejaskan kulit termasuklah faktor genetik.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, penghalang kulit yang terdapat pada tangan terhasil daripada campuran lipid protein dan minyak yang juga bertindak sebagai lapisan perlindungan kepada tangan.

"Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada genetik. Mereka yang mempunyai penghalang yang lemah akan terdedah kepada gejala kulit sensitif seperti gatal-gatal, keradangan dan ekzema.

"Contohnya, dengan penggunaan cecair pencuci pinggan atau sabun yang kerap dan berterusan, Ini mungkin menjadikan keadaan kulit semakin teruk dan boleh melarat sehingga terjadinya rengsa dermatitis (ICD).

"ICD adalah masalah kulit dan mereka yang menghidapnya akan mengalami gejala kulit seperti kekeringan, kemerahan, gatal-gatal dan rasa seperti kulit dicucuk-cucuk.

"Dalam keadaan seperti itu, mereka perlu menjadikan paras pH kulit optimum dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Di samping itu, mereka perlu mengekalkan rutin penjagaan kulit dengan menggunakan produk yang melindungi pH semula jadi kulit," katanya.

Faktor luaran jejas kulit

Tambahnya lagi, faktor luaran turut memainkan peranan dalam mengekalkan kulit yang sihat. Beliau berkata, contoh faktor luaran yang boleh meninggalkan kesan kepada kulit adalah amalan mencuci pinggan dengan kerap.

"Mencuci pinggan sebenarnya boleh menyebabkan kulit tangan kita terdedah kepada bahan kimia yang terdapat dalam cecair pencuci.

"Tahukah anda, secara puratanya setiap orang membasuh pinggan sebanyak sembilan kali setiap hari? Sebenarnya, kita menghabiskan 270 jam setahun untuk membasuh pinggan, dengan jangkaan lima minit diluangkan setiap kali kita membasuh pinggan.

"Ini sebenarnya menyumbang kepada kekeringan kulit apabila minyak semula jadi disingkirkan daripada tangan," jelasnya lagi.

Katanya, kita tidak dapat mengelak daripada melakukan tugasan rumah seperti membasuh pinggan tetapi kita boleh mengambil beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan kesan bahan kimia ke atas kulit tangan.

Beliau berkata, produk beralkali berkesan menyingkirkan kotoran dan kesan berminyak tetapi dalam masa yang sama ia turut menyingkirkan lapisan semula jadi kulit.

CECAIR pencuci pinggan GLO(R) Soft Touch
CECAIR pencuci pinggan GLO(R) Soft Touch

Info

Menyedari pentingnya penjagaan tangan secara menyeluruh dan melindungi kulit anda, pengeluar produk keperluan harian, Colgate-Palmolive memperkenalkan produk terbaharu cecair pencuci pinggan GLO(R) Soft Touch

Cecair diperkaya vitamin E ini mengandungi pelembap daripada pati kelapa dan aloe membantu melembapkan tangan anda secara semula jadi.

Empat cara mudah untuk menjaga kesihatan kulit tangan

1) Rendam tangan dalam air suam setiap kali selesai mencuci

2) Gunakan sarung tangan setiap kali mencuci pinggan atau basuh baju

3) Gunakan pelembap atau losyen tangan selepas mencuci

4) Guna cecair pencuci yang lembut

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X